BERITA SEMASALUAR NEGARA

8 maut, 750 cedera dalam letupan Pelabuhan Shahid Rajaee

TEHRAN – Sekurang-kurangnya lapan terbunuh manakala lebih 750 cedera dalam letupan yang menggegarkan Pelabuhan Shahid Rajaee, sebuah pelabuhan strategik kira-kira 15 kilometer dari barat daya Bandar Abbas, pesisir Selat Hormuz.

Letupan yang dipercayai berlaku di sebuah bangunan pentadbiran dalam kompleks pelabuhan itu mengakibatkan kemusnahan struktur tersebut, selain merosakkan puluhan kenderaan di sekitarnya.

Operasi di pelabuhan serta-merta dihentikan bagi membolehkan pasukan keselamatan dan kecemasan mengawal keadaan.

Jurucakap kerajaan, Fatemeh Mohajerani, memaklumkan letupan dipercayai berpunca daripada beberapa kontena yang mengandungi bahan kimia di kawasan pelabuhan tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Eskandar Momeni dan Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah, Pirhossein Kolivand, segera bergegas ke lokasi kejadian bagi meninjau situasi serta menyelaraskan operasi bantuan.

Seramai 20 pasukan tindak balas pantas bersama lima buah helikopter dihantar untuk memberi bantuan awal kepada mangsa.

Pusat Operasi Kecemasan telah diaktifkan sepenuhnya dengan pemantauan rapi terhadap usaha menyelamat dan bantuan perubatan.

Hospital di wilayah Hormozgan, Fars dan Kerman dimobilisasi untuk menerima mangsa, manakala beberapa pusat perubatan di Tehran turut menyatakan kesediaan mereka.

Syarikat Penapisan dan Pengedaran Minyak Nasional Iran menafikan sebarang kaitan letupan itu dengan kemudahan penapisan, tangki bahan api atau saluran paip minyak berhampiran dan mengesahkan semua fasiliti mereka di Bandar Abbas beroperasi seperti biasa.

Presiden Masoud Pezeshkian melahirkan rasa dukacita terhadap kejadian tragis itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.

Sementara itu, Naib Presiden Pertama, Mohammad-Reza Aref, mengarahkan siasatan rapi dijalankan serta-merta bagi mengenal pasti punca sebenar insiden dan menilai tahap kerosakan yang berlaku.

Setakat ini, keadaan di kawasan pelabuhan masih dalam kawalan ketat pasukan keselamatan dan pihak berkuasa meminta orang ramai agar tidak menghampiri lokasi kejadian demi keselamatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button