BERITA SEMASADALAM NEGERI

8.8 tan sampah dibersihkan di Lorong TAR, 250 kg dikitar semula

KUALA LUMPUR – Sebanyak 8.8 tan sampah berjaya dikutip dan dibersihkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Lorong Tuanku Abdul Rahman (Lorong TAR) selepas berakhirnya Bazar Aidilfitri baru-baru ini.

Dalam operasi pembersihan menyeluruh itu, DBKL turut mengitar semula 250 kilogram (kg) sisa yang terdiri daripada plastik, kertas dan aluminium sebelum dihantar ke pusat kitar semula untuk diproses.

Menurut kenyataan DBKL hari ini, tindakan segera diambil bagi memastikan kawasan tersebut kembali bersih selepas menjadi tumpuan ribuan pengunjung sepanjang Ramadan.

Operasi pembersihan dilakukan Alam Flora selepas jualan Aidilfitri berakhir semalam.

“Operasi ini melibatkan pasukan pembersihan DBKL dengan kerjasama Alam Flora Sdn Bhd yang bertindak membersihkan lorong ini sebaik sahaja bazar ditutup.

“Keutamaan diberikan kepada pembersihan longkang, laluan pejalan kaki serta kawasan sekitar agar bebas daripada sisa buangan dan kotoran,” jelas kenyataan itu.

DBKL turut menegaskan bahawa menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama dan menyeru peniaga serta pengunjung untuk mengamalkan konsep ‘Sifar Sisa’ bagi mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

“Usaha ini mencerminkan komitmen DBKL dalam memastikan ibu kota kekal bersih, selesa dan terpelihara, khususnya di kawasan tumpuan utama seperti Lorong TAR yang menjadi ikon semasa musim perayaan,” tambahnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button