
707 kes keracunan makanan direkod tahun lalu, KKM komited perkasa langkah pencegahan
PUTRAJAYA – Sebanyak 707 kes keracunan makanan direkodkan sepanjang tahun lalu, manakala 204 kes dicatatkan setakat Mei 2025, menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata jumlah itu menunjukkan penurunan 23 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, namun isu keselamatan makanan masih memerlukan perhatian berterusan daripada semua pihak.
“Daripada dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024, seramai 40.5 peratus warga emas dan 28.7 peratus remaja didapati tidak membaca label makanan. Ini menunjukkan jurang literasi pemakanan yang perlu ditangani segera,” katanya ketika merasmikan Ekspo Makanan Selamat (eMAS) sempena Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 di sini semalam.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berusaha mentransformasikan sistem kesihatan negara daripada berasaskan rawatan kepada pencegahan.
“Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) bertindak sebagai ‘penjaga pintu’ keselamatan makanan negara.
“Pelbagai inisiatif berimpak tinggi telah dilaksanakan termasuk pensijilan, pengiktirafan, pelesenan serta kempen kesedaran kepada sektor makanan dan pengguna,” katanya lagi.
Menurut Dzulkefly, inisiatif Premis Bersih Bebas Asap (BeBAS) menjadi antara contoh usaha yang berjaya dalam menyediakan persekitaran makanan yang bersih dan bebas asap rokok.
“Setakat ini, hampir 14,000 premis makanan telah menerima pengiktirafan Premis Bersih dan Selamat (BeSS), meningkat 24.9 peratus berbanding tahun lalu,” katanya lagi.
Ekspo eMAS 2025 dianjurkan selama tiga hari dengan kerjasama KKM dan Persatuan Keselamatan Makanan Malaysia (MAFSA), sebagai platform advokasi secara langsung kepada pengusaha makanan, pemain industri dan masyarakat.
Dalam majlis tersebut, Dzulkefly turut melancarkan Modul Pengajaran Latihan Pengendali Makanan Khas bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU), yang diyakini mampu membawa impak besar dan membuka ruang baharu untuk penyertaan golongan tersebut dalam industri makanan.
“Saya turut menghargai komitmen rakan strategik KKM seperti Zuspresso (M) Sdn. Bhd., Secret Recipe Manufacturing Sdn. Bhd., Petronas Dagangan Berhad (Mesra Retail & Cafe Sdn. Bhd.) serta PLUS Malaysia Berhad dalam pelaksanaan pengiktirafan BeSS di premis masing-masing.
“Penghargaan juga saya rakamkan kepada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) atas pelaksanaan program Food Safety for Young Generation (FooYoo) yang berjaya menyemai kesedaran keselamatan makanan dalam kalangan generasi muda,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








