7 universiti Malaysia dalam senarai 10 terbaik ASEAN dalam THE World University Rankings 2026
KUALA LUMPUR – Tujuh universiti tempatan berjaya menempatkan diri dalam senarai 10 universiti terbaik ASEAN dalam Ranking Universiti Dunia 2026 – Times Higher Education (THE).
Pencapaian itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi utama di rantau ini.
Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan Universiti Malaya (UM) muncul sebagai universiti tertinggi negara apabila masing-masing menduduki kedudukan bersama selepas dua universiti ternama Singapura iaitu National University of Singapore (NUS) dan Nanyang Technological University (NTU).

Kedua-dua universiti itu berada dalam kelompok 201–250 terbaik dunia dengan UTP mengekalkan kedudukan sama seperti edisi tahun lalu.
Ketua Hal Ehwal Global THE, Phil Baty berkata, Asia terus menunjukkan peningkatan ketara dalam kedudukan universiti dunia dengan rantau ASEAN kini muncul sebagai kuasa akademik global yang semakin menyerlah.
“Malaysia terus mencipta rekod baharu dengan pencapaian terbaik setakat ini,” katanya dalam kenyataan.
Selain UTP dan UM, universiti tempatan lain yang tersenarai dalam 10 terbaik ASEAN ialah Sunway University dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berada dalam kelompok 301–350 dunia, manakala Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) masing-masing tersenarai dalam kelompok 401–500.
Empat universiti Malaysia iaitu UM, Sunway, UKM dan Management & Science University (MSU) turut mencatat pencapaian terbaik mereka dalam sejarah penyertaan THE Rankings.
UM melonjak daripada kedudukan 251–300 pada edisi 2025 hasil peningkatan ketara dalam indikator International Outlook, naik 37 anak tangga ke kedudukan ke-107 dunia.
Dalam hantaran di Facebook, UM turut memaklumkan peningkatan dalam beberapa indikator lain, antaranya Pembelajaran (kedudukan ke-167, naik 30 tempat), Persekitaran Penyelidikan (ke-280, naik 41 tempat), Kualiti Penyelidikan (ke-530, naik 75 tempat) dan Industri (ke-632, naik 55 tempat).
“UM akan terus berusaha mencapai kecemerlangan dan menunaikan peranannya sebagai lambang pendidikan tinggi negara di persada dunia,” menurut kenyataan itu.
Sunway University turut mencatat lonjakan besar apabila naik ke kelompok 301–350 daripada 401–500 sebelum ini, dengan peningkatan menyeluruh dalam semua lima indikator utama, khususnya Kualiti Penyelidikan di mana ia kini berada di kedudukan ke-111 dunia.
MSU pula menembusi kelompok 800 terbaik dunia buat pertama kali, manakala Lincoln University College (dalam kelompok 1,501+) disenaraikan antara 50 terbaik dunia bagi indikator International Outlook.
“Pada tahun kedua penyertaan, MSU berjaya menempatkan diri dalam 100 terbaik dunia bagi International Outlook dengan skor 92.1, membuktikan penglibatan dan kerjasama antarabangsa yang semakin kukuh,” menurut kenyataan universiti itu.
Secara keseluruhan, Malaysia kini mempunyai 27 universiti tersenarai dalam Ranking Universiti Dunia 2026 THE, menjadikannya negara kedua paling banyak diwakili dalam kalangan ASEAN selepas Indonesia yang mengetuai dengan 35 institusi.
Bagi keseluruhan rantau ASEAN, NUS kekal sebagai universiti nombor satu dan ke-17 terbaik dunia, diikuti NTU di kedudukan ke-31 bersama universiti lain.
Universiti Brunei Darussalam (kedudukan 351–400) turut tersenarai buat kali pertama dalam kelompok 10 terbaik ASEAN.
Ranking Universiti Dunia 2026 THE yang berpangkalan di United Kingdom dianggap antara penilaian universiti paling berprestij di dunia.
Secara global, University of Oxford mengekalkan gelaran universiti terbaik dunia untuk tahun ke-10 berturut-turut, diikuti Massachusetts Institute of Technology (MIT) di tempat kedua, serta Princeton University dan University of Cambridge yang berkongsi kedudukan ketiga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






