
Kongres Ekonomi Melayu bukan retorik politik – Tengku Hafiz
PUTRAJAYA – Kongres Ekonomi Melayu yang dirancang dianjurkan oleh UMNO bukan satu retorik politik, sebaliknya ia bermatlamat untuk mencari resolusi bagi meningkat kekuatan ekonomi orang kaum itu.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan berkata, kongres itu adalah sangat penting untuk memacu pemerkasaan ekonomi dan pembangunan orang Melayu.
“Ia bukan satu retorik politik. Kongres ini melangkaui semua aspek dan memerlukan tekad politik yang besar. Orang Melayu sudah terlepas banyak peluang sejak UMNO hilang dominasi.
“Itulah realitinya dan walaupun pahit tetap perlu kita telan. Apa yang perlu kita faham, kongres ini tidak menafikan polisi serta dasar terdahulu. Namun cabaran masa kini jauh berbeza. Berdepan dengan geo-politik semasa dalam negara kini, UMNO berusaha untuk memastikan dasar perjuangan orang Melayu terus menjadi teras utama perjuangan parti,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Mengulas lanjut katanya, kongres itu akan berperanan dalam usaha memacu kemajuan masyarakat Melayu dan berfungsi sebagai platform untuk kerjasama, perkongsian pengetahuan, dan rangkaian dalam kalangan usahawan, pakar industri, cendekiawan serta pegawai kerajaan.
Pada masa sama, katanya, melalui kongres tersebut, semua pihak akan dapat mendalami dengan lebih mendalam kaedah untuk memperkasa ekonomi orang Melayu selari dengan perkembangan teknologi baharu dan cabaran dunia hari ini.
“Mengambil iktibar daripada saranan Presiden dan Timbalan Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO yang lepas. Saya yakin dengan penganjuran kongres ini nanti akan menghasilkan satu resolusi yang progresif dan sesuai dengan iklim semasa.
“Kongres ini pastinya akan mempromosi usahawanan dan pembangunan perniagaan yang akan memangkin pertumbuhan perniagaan orang Melayu. Dengan penglibatan usahawan yang berjaya, kongres ini bakal memberi inspirasi kepada individu yang bercita-cita tinggi untuk mengejar impian keusahawanan mereka,” ujarnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |