
63 veteran ATM terima pingat jasa Malaysia
TAWAU– Seramai 63 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk balu dan waris dari Tawau, Lahad Datu dan Semporna, menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai tanda penghargaan kerajaan atas khidmat kepada negara.
Majlis penganugerahan disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang berlangsung di Hotel Royal Borneo, di sini, semalam.
Menurut beliau, penganugerahan PJM merupakan satu bentuk pengiktirafan tertinggi terhadap keberanian dan jasa bakti anggota tentera yang telah menjalankan tanggungjawab mempertahankan negara.
“Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia ini merupakan satu penghargaan tertinggi yang mengiktiraf keberanian, pengorbanan dan jasa bakti anggota tentera dalam menunaikan tanggungjawab mempertahankan negara,” katanya.
Tambahnya, usaha itu juga seiring dengan aspirasi Pelan Strategik Kementerian Pertahanan (MINDEF) 2021–2025 yang menekankan aspek Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM.
“Ia juga selaras dengan aspirasi Pelan Strategik MINDEF 2021–2025 yang menekankan Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM.
“Serta amanat saya dalam Perutusan Tahun Baharu 2025 di bawah Fokus 4, iaitu memperkukuh ekosistem kesejahteraan warga pertahanan,” ujarnya.
Setakat ini, seramai 49,475 veteran ATM yang layak telah menerima PJM sebagai simbol penghargaan rasmi kerajaan atas khidmat mereka.
PJM turut diiktiraf sebagai antara pingat terkanan dalam hierarki anugerah negara, setaraf atau lebih tinggi daripada Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS).
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan serta pegawai kanan MINDEF dan ATM.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |