BERITA SEMASA

56 peratus wanita alami diskriminasi di tempat kerja – Anfaal

PUTRAJAYA – Seramai 56 peratus wanita di negara ini berdepan diskriminasi di tempat kerja, kata Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari.

Beliau berkata, situasi itu menunjukkan keperluan kepada dasar lebih inklusif termasuk pelaksanaan kerja waktu anjal (flexible working arrangement) bagi memastikan wanita tidak terus dipinggirkan.

“Wanita sering dianggap pekerja yang banyak bercuti sehingga menjejaskan prestasi mereka. Polisi kerja anjal perlu dijadikan satu dasar supaya wanita mempunyai ruang lebih adil dalam kerjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pemerkasaan Wanita anjuran mahasiswa Graduate School of Business (GSB) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Pusat Komuniti Presint 16, di sini, hari ini.

Dalam pada itu Anfaal berkata, laporan jurang gender juga menunjukkan Malaysia masih ketinggalan dalam aspek penyertaan wanita dalam pekerjaan dan ekonomi, walaupun pencapaian dalam sektor pendidikan dan kesihatan berada pada tahap baik.

“Oleh itu, lebih banyak kajian dan usaha perlu dilakukan sama ada di peringkat kerajaan mahupun swasta bagi memastikan kesaksamaan dapat dicapai,” katanya.

Program “Empower Nine’ itu menampilkan kerjasama agensi kerajaan dalam menyediakan maklumat dan ilmu berkaitan hak serta peluang wanita, di samping memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk melaksanakan projek berbentuk praktikal.

Selain pameran, ia turut diisi dengan forum kesedaran, perkongsian pengalaman, dan aktiviti komuniti yang menekankan aspek pembangunan wanita dalam pelbagai bidang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button