BERITA SEMASA

56 pengamal media rasai pengalaman 24 jam sebagai tentera

KUALA LANGAT – Seramai 56 pengamal media diberi peluang untuk merasai pengalaman 24 jam sebagai tentera menerusi Hari Bersama Media (HBM) Tahun 2024 anjuran Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Program yang diadakan di Pangkalan Udara Jugra itu melibatkan 21 agensi tempatan dan dikelolakan oleh Unit Komunikasi Strategik (UKS) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui seliaan Pasukan Khas Udara (PASKAU).

Malaysia Tribune diwakili wartawan, Muhammad Najmi Zulkefle dan Nur ‘Ainna Ajaman.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, HBM MINDEF Tahun 2024 diadakan sebagai tanda penghargaan kepada petugas media yang menjalankan tugas dalam membuat liputan mengenai berita pertahanan negara.

“Tahniah kepada petugas media yang telah merasai pengalaman 24 jam sebagai anggota tentera di bawah seliaan PASKAU sempena HBM dalam usaha sama-sama kita laksanakan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara atas kapasiti masing-masing,” katanya.

Khaled Nordin (tengah) menghadiri majlis penutup HBM MINDEF Tahun 2024 di Lapang Sasar Batu Hampar. – Foto Najmi Zulkefle / Malaysia Tribune

Terdahulu, Mohamaed Khaled menghadiri majlis penutup HBM MINDEF Tahun 2024 di Lapang Sasar Batu Hampar di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Asghar Khan Goriman Khan.

Bagi HBM MINDEF Tahun 2024, pengamal media didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi menerusi pendekatan latihan ala tentera.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah mendaki Bukit Jugra, rentas halangan, sukan tali tinggi, memasak dalam hutan dan cabaran menembak dengan menggunkan senjata senapang M4 dan pistol Glock.

Para petugas media dibahagikan secara rawak kepada lima kumpulan yang dianggotai oleh sepuluh ahli.

Mohamed Khaled Nordin menyampaikan hadiah kepada Johan HBM MINDEF Tahun 2024.

Kumpulan Cakra yang turut dianggotai wakil Malaysia Tribune muncul johan keseluruhan HBM dan pertandingan menembak senapang M4 serta naib johan menembak pistol Glock.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pihak MINDEF akan mempertimbangkan untuk mengadakan HBM MINDEF dengan pendekatan berbeza pada tahun depan, sekali gus memberi peluang kepada rakan-rakan media merasai dan melihat dengan lebih dekat perjalanan rutin operasi di pangkalan tentera.

Berkongsi pengalaman menyertai HBM 2024, wartawan TV3, Mohd Fareez Aman menyifatkan ia sebagai satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan, selain mengharapkan HBM MINDEF diteruskan pada tahun hadapan.

“Mungkin selama ini kita hanya melihat latihan ketenteraan ini di kaca TV, tapi kali ini kami pengalamal media dapat merasai sendiri pengalaman menjalankan latihan itu walaupun hanya 10 peratus.

“Amat memenatkan tapi berbaloi kerana ia dapat mengeratkan silaturahim antara MINDEF, PASKAU dan pengamal media sepanjang program,” katanya kepada Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button