
5,272 belia diisytihar muflis sejak 2020
KUALA LUMPUR – Sebanyak 5,272 belia berusia 34 tahun ke bawah diisytiharkan muflis sejak 2020 hingga tahun ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, daripada jumlah itu 5,189 adalah belia berumur 25 hingga 34 tahun manakala 83 lagi berumur bawah 25 tahun.
“Trend kebankrapan dalam kalangan belia menunjukkan peningkatan, pada 2024 terdapat 877 kes meningkat sebanyak 150 kes berbanding 727 tahun sebelumnya.
“Berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia, punca utama kes kebankrapan pada 2024 melibatkan pinjaman peribadi yang menyumbang sebanyak 2,776 kes atau 46.4% daripada keseluruhan 5,977 kes kebankrapan iaitu hampir 50%,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Hannah berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Roderick Wong Siew yang ingin tahu jumlah belia berusia 35 tahun ke bawah yang diisytiharkan bankrap setakat 2025 dan apakah punca utama menyebabkan berlaku masalah itu.
Hannah kemudiannya berkata, faktor lain yang menyumbang kepada kebankrapan termasuk pinjaman perniagaan iaitu sebanyak 1,148 kes, pinjaman perumahan sebanyak 474 kes diikuti keberhutangan lain melibatkan 463 kes.
Selain itu, antara faktor lain ialah sewa beli kenderaan melibatkan 444 kes, penjamin korporat 383 kes, hutang cukai pendapatan 110 kes, hutang kad kredit membabitkan 89 kes, kegagalan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 77 kes, serta biasiswa, pinjaman pelajaran sebanyak sembilan kes dan empat kes disebabkan oleh menjadi penjamin sosial.
Sehubungan itu, katanya, kementerian melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara mengambil inisiatif melaksanakan program khusus Literasi Kewangan Belia yang akan mula dilaksanakan pada April hingga Oktober tahun ini di seluruh negara.
“Program ini bertujuan meningkatkan daya ketahanan kewangan dengan menyasarkan seramai 30,600 orang belia menjelang tahun 2030.
“Bagi tahun 2025, Kementerian Belia Sukan (KBS) turut melaksanakan program Genta Pemerkasaan Ekonomi Belia khususnya bagi zon tengah, yang mengetengahkan elemen kos sara hidup kepada peserta belia,” katanya.
Katanya, kerajaan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah dan akan melaksanakan pelbagai program untuk membantu golongan sasar dalam membentuk masyarakat lebih bijak dalam berbelanja serta mengamalkan pengurusan kewangan yang bertanggungjawab,
Menurutnya, ia sekali gus bagi mengurangkan risiko muflis dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya golongan belia.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |