Berita Semasa

5,026 laman sesawang judi telah disekat – Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi memaklumkan sebanyak 5,026 laman sesawang judi disekat, manakala 224,403 kandungan perjudian di platform media sosial diturunkan dari tahun 2022 hingga 1 Februari lalu.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, langkah tersebut adalah bagi memastikan ekosistem rangkaian internet lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna susulan pelaksanaan

Beliau berkata, ia selaras dengan usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mewajibkan setiap penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan internet memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588 bermula 1 Januari lalu.

Jelas Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, arahan itu terpakai untuk penyedia yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini.

“Langkah ini bertujuan memastikan setiap penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang berdaftar mematuhi obligasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta mengamalkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) yang diterbitkan oleh MCMC.

“Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan akauntabiliti terhadap kandungan dan interaksi dalam talian yang disediakan kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Azahari meminta Kementerian Komunikasi menjelaskan langkah diambil untuk membanteras aktiviti judi dalam talian semakin berleluasa termasuk usaha pemantauan, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan internet serta platform digital.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button