5,000 petugas, sukarelawan sertai Ops Mega Pembersihan di Putra Heights
SUBANG JAYA – Hampir 5,000 petugas dan sukarelawan telah turun padang menyertai ‘Ops Mega Pembersihan’ yang dijalankan di kawasan terkesan susulan insiden kebakaran paip gas di Putra Heights.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Menurut beliau, program selama dua hari itu merupakan anjuran bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) bagi membantu kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan kediaman yang telah disahkan selamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor (JBPM) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Sebanyak 264 unit kenderaan dan jentera digunakan sepanjang operasi tersebut yang melibatkan pelbagai jenis peralatan termasuk lori water jetter, lori RORO, backhoe, road sweeper, wood chipper, skylift dan kenderaan pacuan empat roda (4×4).
“Operasi berskala besar itu merangkumi tujuh skop kerja utama iaitu pembersihan longkang, jalan dan lorong belakang, kawasan parkir, tembok rumah, pemotongan pokok yang terbakar serta bantuan mengangkat barangan rumah penduduk yang rosak akibat insiden,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan operasi tersebut dan memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus komited membantu mangsa-mangsa yang terkesan.
“Buat para mangsa Putra Heights, anda tidak bersendirian. Kami bersama anda dan akan terus membantu anda mengharungi ujian ini,” tambahnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






