BERITA SEMASA

5 ADUN BERSATU terlibat cetus kekalutan di Perlis perlu diambil tindakan – gesa Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR – PAS menggesa supaya rakan sekutunya di dalam Perikatan Nasional (PN) mengambil tindakan tegas terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU yang telah menarik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli hingga mencetuskan kemelut politik di negeri itu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu perlu bagi mendisiplinkan ahlinya.

“PAS telah mengambil tindakan tegas terhadap tiga orang ADUN PAS kerana parti ini tidak bersedia berkompromi dalam soal disiplin jemaah. Walaupun keputusan ini mungkin membawa risiko terhadap kestabilan kerajaan Perlis, PAS berpandangan bahawa prinsip dan integriti parti mesti diutamakan mengatasi kepentingan jangka pendek.

“Dalam suasana ini, saya menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS agar kekal tenang, berdisiplin serta tidak mudah terpengaruh dengan provokasi yang hanya menguntungkan pihak lawan.

“Pada masa yang sama, saya berharap, BERSATU turut mengambil tindakan tegas terhadap ADUN mereka yang terlibat menandatangani statutory declaration (SD) sehingga mencetuskan suasana tidak harmoni di Perlis.

Related Articles

“Tindakan sedemikian penting sebagai tanda hormat kepada rakan komponen dalam PN serta bagi memastikan disiplin dan keutuhan gabungan terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pas
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan keahlian Saad Seman, ADUN Chuping; Fakhrul Anwar Ismail, ADUN Bintong (tengah); dan Mohd Ridzuan Hashim, ADUN Guar Sanji (kiri) terhenti selepas bertindak menarik sokongan terhadap Menteri Besar.

Mengulas lanjut katanya, tindakan itu berdasarkan kepada perbandingan kepada masalah di Nenggiri, Kelantan sebelum ini.

Katanya, BERSATU ketika itu telah menghentikan keahlian ADUN Nenggiri kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga membuka ruang kepada Pilihan Raya Kecil (PRK), sedangkan tindakan berkenaan berlaku tanpa melibatkan SD.

“Berbanding dengan Nenggiri, apa yang berlaku di Perlis jauh lebih serius. Ia memberi kesan langsung kepada keituhan kerajaan PN.

“Sebagai rakan dalam gabungan utama PN, kami yakin BERSATU akan bertindak secara konsisten dan tegas, selaras dengan semangat Akta Anti Lompat Parti serta prinsip amanah kepada mandat rakyat.

“PAS sudah melakukan tindakannya demi mendisiplinkan parti, kini saya merasakan BERSATU wajar melakukan perkara yang sama kepada ADUNnya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button