
4,424 kes penderaan, pengabaian kanak-kanak direkodkan di taska
Hampir keseluruhan berlaku di taska yang tidak berdaftar dengan kementerian
KUALA LUMPUR – Sebanyak 4,424 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak direkodkan berlaku di taman asuhan kanak-kanak (taska) seluruh negara setakat Ogos lalu.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, hampir keseluruhan insiden direkodkan melibatkan insiden di taska tidak berdaftar atau haram.
“Kita sebagai rakyat memang marah apabila dengar kes penderaan terhadap kanak-kanak. Kami di kementerian mengakui memang ia masih berlaku.
“Kebanyakan kes penderaan ini berlaku di tidak berdaftar yang tidak diketahui pun wujud oleh kementerian,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Mengenai kes yang berlaku di taska berdaftar dengan kementerian, jelas Noraini, hanya tiga kes dilaporkan.
“Jika mereka mendaftar dengan kementerian atau taska tidak berdaftar, tetapi dalam senarai Jabatan Kebajikan Masyarakat, Notis Peringatan sudah dikeluarkan supaya tak beroperasi sehingga selesai proses pendaftaran,” katanya lagi.
Noraini berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai penyelesaian kes penderaan dan pengabaian yang dikesan berlaku di taska di seluruh negara.
Sementara itu, menjawab soalan asal Muhammad Bakhtiar mengenai usaha dilakukan kementeriannya dalam menangani kes penderaan bayi dan kecuaian di pusat tersebut supaya sentiasa dipantau dan tindakan wajar dapat diambil, Noraini menjelaskan pelbagai inisiatif telah dilaksanakan.
Antara inisiatif tersebut adalah mengeluarkan Garis Panduan Keselamatan Kanak-Kanak Di Taman Asuhan Kanak-Kanak Berdaftar yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024 dan mengarahkan pegawai diberi kuasa untuk jalankan pemeriksaan berkala.
“Usaha untuk mengurangkan risiko dan bilangan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak serta isu berkaitan keselamatan kanak-kanak secara amnya, adalah harus dipikul bersama oleh semua pihak.
“Ini termasuklah pihak Kerajaan, komuniti serta individu. Sifat ambil tahu, ambil cakna dan peka dengan keadaan dan keperluan kanak-kanak di sekeliling perlu disemai di kalangan masyarakat kita agar bukan sahaja dapat memastikan kemaslahatan yang baik untuk kanak-kanak, malah turut boleh mengeratkan perpaduan rakyat,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |