BERITA SEMASAPMX

2026 akan jadi Tahun Melawat Malaysia terbaik

SEPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM2026) dilaksanakan melalui pendekatan menyeluruh yang tidak hanya tertumpu kepada produk-produk pelancongan di negara ini.

Beliau berkata, promosi TMM2026 memerlukan keterangkuman pelbagai sektor termasuk hospitaliti, pengangkutan, peruncitan, makanan serta ekonomi bandar dan luar bandar.

Katanya, mengambil kira kekayaan dan kepelbagaian budaya unik yang dimiliki Malaysia, kerajaan mensasarkan kemasukan 35.6 juta pelancong dengan nilai pendapatan RM147.1 bilion.

“Usaha ini juga bagi memastikan impak daripada aktiviti pelancongan dapat memberi limpahan ekonomi kepada rakyat seluruh peringkat sama ada di kota dan desa.

“Saya yakin dengan komitmen seluruh pentadbiran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), kempen TMM2026 mampu menjadikan 2026 tahun pelancongan terbaik,” katanya pada majlis pelancaran Kempen TMM2026.

Selain itu beliau berkata, sektor peloncangan juga wajar memberi penekanan kepada aspek kemampanan seperti yang digariskan di bawah teras MADANI, iaitu keseimbangan dan berasaskan citra Malaysia yang unik.

“Kebersamaan semua pihak dituntut, baik sektor kerajaan, kerajaan negeri, industri swasta, juga rakyat pelbagai lapisan masyarakat dalam menjadi ‘ejen pelancongan’ untuk mewar-warkan kempen ini dengan lebih hebat lagi,” katanya.

Majlis Perasmian Tahun Melawat Malaysia

Anwar berkata, setiap negeri dan daerah di Malaysia mempunyai keunikan tersendiri untuk menarik pelancong serta menyumbang kepada kempen tersebut.

“Untuk menjayakan TMM2026, kita pastikan semua negeri tanpa terkecuali menjadi destinasi pelancongan.

“Saya telah minta semua kementerian memberi perhatian agar tiada negeri atau kawasan yang tertinggal,” katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim di Majlis Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026

Anwar turut menekankan kerangka MADANI yang berasaskan keterangkuman dan pencapaian kualiti hidup yang lebih baik selain memastikan keseimbangan antara pembangunan dan alam semula jadi.

Dalam ucapan sama, Anwar memuji keunikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mesra alam dan kaya dengan kepelbagaian budaya.

“Malaysia bukan destinasi biasa. Ia adalah destinasi yang menawarkan pengalaman unik, penuh budaya yang memikat, konsisten dengan tema kempen,” ujarnya.

Beliau juga memuji lagu tema kempen bertajuk “Surreal Experiences” yang dianggap dapat menarik minat generasi muda.

“Lagu ini cukup inklusif, mencerminkan semua negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Tiong King Sing atas usaha ini,” katanya lagi.

Kempen TMM2026 turut memperkenalkan logo, maskot dan corak khas untuk dipaparkan pada kapal terbang.

Beruang matahari Malaya dipilih sebagai ikon rasmi kempen, melambangkan komitmen negara terhadap pemuliharaan hidupan liar.

Dua maskot, Wira dan Manja diperkenalkan sebagai simbol keterangkuman dan kepelbagaian.

Kempen itu diharap dapat meningkatkan lagi daya saing Malaysia di persada antarabangsa menjadikan pelancongan sebagai pemangkin utama ekonomi negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button