
4 kes disahkan positif MPOX dikesan di Malaysia – KKM
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 99 kes disyaki jangkitan cacar monyet (MPOX) telah dilaporkan sejak tahun 2024 sehingga 26 Januari 2025.
Daripada jumlah tersebut, 95 kes telah disahkan negatif, manakala empat kes disahkan positif.
Menurut kenyataan KKM, kes positif terbaru dikesan pada 25 Januari 2025, melibatkan seorang lelaki warga New Zealand berusia 42 tahun yang bekerja dan menetap di Singapura.
“Kes berkenaan memiliki sejarah penyakit HIV dan penyakit kelamin (STD) sejak 2019 serta mendapatkan rawatan susulan di sebuah klinik swasta di Malaysia.
“Pesakit mula menunjukkan gejala ulser pada bahagian genitalia pada 14 Januari 2025 sebelum menjalani saringan STD di sebuah klinik swasta pada 20 Januari,” menurut laporan itu.
Meskipun keputusan awal adalah negatif, beliau dirujuk ke hospital swasta untuk pemeriksaan lanjut di mana ujian PCR akhirnya mengesahkan beliau positif MPOX pada 25 Januari 2025.
Pesakit yang dikategorikan sebagai berisiko seksual lelaki bersama lelaki dipercayai mempunyai tiga pasangan seksual kesemuanya berada di Singapura.
Dalam pada itu, KKM turut melaporkan bahawa sebanyak 280,454 pengembara telah disaring di pintu masuk antarabangsa dalam tempoh 24 jam sehingga 26 Januari 2025.
Tiada kes disyaki MPOX dikesan dalam tempoh berkenaan.
Sejak 16 Ogos 2024 sehingga kini, seramai 40,414,753 pengembara telah melalui proses saringan di pintu masuk darat, laut dan udara.
Namun dua kes disyaki MPOX dilaporkan pada 7 dan 14 September 2024, yang kemudiannya disahkan negatif melalui ujian PCR.
KKM mengingatkan masyarakat untuk terus berhati-hati dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala seperti ulser atau ruam yang mencurigakan.
Langkah pencegahan dan pengawasan kendiri amat penting dalam mengawal penularan penyakit itu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |