BERITA SEMASALUAR NEGARA

38 terbunuh dalam serangan AS ke atas pelabuhan Ras Isa

SANAA — Serangan tentera Amerika Syarikat (AS) ke atas pelabuhan minyak strategik Ras Isa di barat Yaman mengorbankan 38 nyawa dan lebih 100 cedera.

Kejadian di kawasan yang dikuasai oleh tentera Houthi itu disahkan oleh media rasmi mereka Al Masirah TV yang melaporkan kebanyakan mangsa terdiri daripada kakitangan pelabuhan dan orang awam.

Pelabuhan Ras Isa, yang terletak di kawasan pesisir Laut Merah, merupakan terminal eksport minyak utama negara itu dan dianggap sebagai nadi ekonomi bagi wilayah yang dikawal oleh kumpulan Houthi.

Serangan tersebut menyebabkan kerosakan besar kepada infrastruktur pelabuhan sekaligus menjejaskan operasi penghantaran minyak di rantau itu.

Menurut kenyataan rasmi Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM), serangan tersebut adalah sebahagian daripada strategi untuk melemahkan keupayaan kewangan dan logistik Houthi yang didakwa digunakan untuk membiayai operasi ketenteraan serta serangan terhadap kapal-kapal perdagangan antarabangsa.

“Langkah ini diambil sebagai tindak balas terhadap ancaman yang berterusan oleh kumpulan Houthi terhadap keselamatan maritim dan kepentingan global di kawasan Laut Merah,” ujar CENTCOM dalam kenyataan bertulis.

Serangan itu merupakan sebahagian daripada kempen ketenteraan AS yang lebih luas sejak dimulakan pada 15 Mac 2025.

Ia dilancarkan sebagai reaksi terhadap siri serangan oleh Houthi ke atas kapal dagang dan armada tentera laut di Laut Merah.

Kumpulan Houthi dalam kenyataannya mengecam keras tindakan AS itu yang dianggap melanggar kedaulatan Yaman dan menyalahi undang-undang antarabangsa.

Mereka turut mendakwa bahawa serangan tersebut menyebabkan kematian beberapa pekerja perubatan serta orang awam yang tidak bersalah, seperti dilaporkan oleh The Guardian.

Insiden ini mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat antarabangsa terhadap tercetusnya perang di wilayah Teluk yang sekaligus mengancam kestabilan laluan perdagangan global, khususnya di kawasan sensitif Laut Merah.

Pemerhati politik dan badan hak asasi manusia kini menuntut siasatan lanjut terhadap insiden tersebut dan menggesa semua pihak terlibat agar mengutamakan penyelesaian diplomatik bagi mengelakkan pertumpahan darah yang berpanjangan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button