Berita Semasa

3,788 murid tahun satu terima sumbangan Simpanan Pendidikan Madani

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,788 pelajar tahun satu sesi persekolahan 2025/2026 menerima sumbangan Simpanan Pendidikan Madani berjumlah RM189,400 daripada Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT).

Menurut LTAT dalam satu kenyataan, sumbangan itu diberikan kepada anak-anak tentera daripada tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), iaitu Tentera Darat (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Katanya, setiap pelajar yang menerima sumbangan itu akan dibantu untuk membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), berjumlah RM50 yang akan terus dikreditkan ke dalam akaun mereka.

“Inisiatif ini merupakan langkah penting dalam usaha bersepadu untuk memperkasa simpanan pendidikan serta memastikan warga ATM mempunyai perancangan kewangan pendidikan yang mampan untuk keluarga,” katanya di sini hari ini.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 2,781 orang pelajar daripada TDM (RM139,050), 359 pelajar TLDM (RM17,950) dan 648 pelajar TUDM (RM32,400).

“Dengan inisiatif ini, YLTAT berharap dapat memberikan sokongan yang kukuh kepada keluarga anggota ATM dalam memastikan masa depan pendidikan anak-anak terus terjamin.

“Inisiatif Simpanan Pendidikan Madani ini juga adalah selaras dengan aspirasi YLTAT untuk menjadi peneraju dalam memperkasa pendidikan dan kebajikan warga ATM.

“Menerusi kolaborasi strategik bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Mac 2024, YLTAT yakin inisiatif ini dapat menjadi instrumen penting dalam meningkatkan ketersediaan simpanan pendidikan yang berkualiti serta berkesan,” katanya.

Sementara itu dalam lawatan dan majlis berbuka puasa TDM, TLDM dan TUDM di beberapa kem dan pangkalan tentera baru-baru ini, Ketua Eksekutif YLTAT, Datuk Dr. Mohd Nizar Sudin menyerahkan replika cek sumbangan Simpanan Pendidikan Madani kepada Menteri Pertahanan merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YLTAT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

YLTAT sentiasa komited untuk memberikan sokongan penuh terhadap usaha murni yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan ATM dalam memperkasa kebajikan serta pendidikan anak-anak anggota ATM.

Inisiatif ini juga diharap dapat memberi impak positif kepada keluarga ATM, dengan membantu mereka merancang masa depan pendidikan yang lebih baik dan lebih stabil.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button