BERITA SEMASADALAM NEGERI

37 peratus penghuni PPS terdiri warga emas, OKU

KUALA LUMPUR – Sebanyak 496 daripada 1,251 mangsa banjir yang ditempatkan di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Petaling dan Klang akibat banjir sejak awal pagi semalam terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.

Sebahagian besar daripada mereka adalah individu yang memilih untuk berpindah bagi mengelak kemungkinan situasi lebih berisiko sekiranya tidak berpindah ke PPS.

Menurut portal rasmi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 388 individu OKU dan 108 individu warga emas kini berlindung di Dewan Kenanga Seksyen 28 MBSA, Sekolah Kebangsaan Seksyen 16, SMK Seksyen 16 dan Dewan Camelia, Putra Heights.

Jumlah itu termasuk penempatan di dua PPS di daerah Klang iaitu di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai dan Dewan Bunga Bakawali Seksyen 35.

Daripada 1,251 mangsa yang terlibat, 403 orang terdiri daripada lelaki dewasa, 411 perempuan dewasa manakala selebihnya adalah kanak-kanak dan bayi.

Difahamkan, terdapat beberapa keluarga mangsa yang memilih untuk tidak menetap di PPS kerana menumpang di rumah saudara mara di luar kawasan terjejas.

Malah, ada juga yang enggan berpindah kerana ingin menjaga rumah masing-masing, berikutan pengalaman insiden kecurian semasa kejadian banjir sebelum ini.

Sebelum ini, media melaporkan hujan lebat sejak kira-kira jam 2 pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan di negeri Selangor dilanda banjir kilat, melibatkan daerah Petaling, Klang, Sepang, Hulu Langat dan Gombak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button