
348 mangsa banjir di Tumpat terima bantuan Kementerian Komunikasi, Maxis
TUMPAT – Seramai 348 mangsa banjir di Kampung Baru Nelayan di sini menerima bantuan berupa kewangan dan makanan daripada Kementerian Komunikasi dan syarikat telekomunikasi Maxis.
Bantuan tersebut disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di sini hari ini.
Fahmi berkata, bantuan itu turut mendapat kerjasama Maxis yang membantu menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mangsa banjir.
“Ini merupakan bukti kebersamaan dan solidariti syarikat korporat terhadap nasib golongan terjejas, seiring aspirasi Malaysia Madani.
“Kerjasama strategik ini selaras dengan nilai Ihsan yang sinonim dengan sifat peduli dan belas kasihan; mencakupi rasa kasih sayang terhadap orang lain termasuk ahli keluarga, rakan-rakan serta masyarakat secara keseluruhan meskipun terdapat perbezaan agama, kaum dan budaya,” katanya ketika berucap dalam majlis itu di sini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa; Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN), Julina Johan; Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Broadband Sdn Bhd, Azizul Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Persekutuan, Kampung Baru Nelayan, Nasir Hasan.
Penerima bantuan itu terdiri daripada 100 orang penduduk Kampung Baru Nelayan, 61 orang Komuniti Madani daerah Tumpat dan 187 warga jabatan serta agensi di bawah Kementerian Komunikasi di negeri Kelantan

Dalam pada itu katanya, Kementerian Komunikasi pada 17 Disember lalu, telah melancarkan Skuad Ihsan Madani bertujuan untuk memastikan bantuan dalam pelbagai bentuk dapat disampaikan dengan pantas dan menyeluruh kepada komuniti yang terjejas.
Ujarnya, hingga kini terdapat seramai 529 orang sukarelawan Kementerian Komunikasi seluruh negara termasuk 40 orang dari negeri Kelantan.
Selain itu, katanya, kerajaan telah memperluas pengkreditan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada semua bank bagi memastikan pengurusan yang lebih cekap dan selamat.
Katanya, agihan BAP sebanyak RM150 secara one-off dikreditkan terus ke akaun ibu bapa atau penjaga serta murid atau secara tunai.
“Agihan BAP telah mula diberikan kepada murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima bagi sesi persekolahan 2025/2026 dan julung-julungkalinya inisiatif BAP akan diperluas kepada pelajar Tingkatan Enam.
“Ikhtiar ini merupakan keprihatinan kerajaan dalam usaha meringankan beban kewangan ibu bapa apabila sesi persekolahan bermula,” katanya.
Sementara itu Fahmi turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak terpedaya atau menjadi mangsa penipuan golongan scammer dan berita palsu.
“Jangan mudah percaya dengan hantaran yang belum disahkan kesahihannya. Pastikan kita melakukan usul periksa terlebih dahulu sebelum menyebarkan sebarang berita atau maklumat.
“Dengan begitu, kita dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan penyebaran berita palsu atau fitnah yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |