BERITA SEMASA

3,473 anggota ATM tamat Latihan Peralihan, 514 terima Diploma Kemahiran Malaysia

SUNGAI BULOH – Seramai 3,473 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menamatkan Latihan Peralihan di seluruh negara manakala 514 anggota serta veteran ATM menerima Diploma Kemahiran Malaysia menerusi inisiatif Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL), kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia (Program RPEL) dan Sijil Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) yang berlangsung di Kompleks PERHEBAT, Sungai Buloh, hari ini.

Menurut beliau, inisiatif itu membuktikan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan dalam memperkasa pembangunan modal insan dalam kalangan Bakal Pesara dan Veteran ATM sejajar dengan aspirasi Kertas Putih Pertahanan (KPP).

“Melalui program RPEL, anggota dan veteran ATM diberi peluang untuk menamatkan perkhidmatan dengan pengiktirafan formal dalam bentuk diploma berdasarkan pengalaman, kemahiran dan pencapaian mereka ketika dalam perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, program RPEL yang dilaksanakan sejak 2017 merupakan usaha bersama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan berteraskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS).

Dalam majlis sama, Mohamed Khaled turut menyaksikan pemeteraian lapan memorandum dan nota persefahaman (MoU dan NoU) antara PERHEBAT dan pihak industri sebagai usaha memperluas peluang kerjaya dan keusahawanan kepada pesara serta veteran ATM.

Antara pihak industri yang terlibat termasuk Boustead Petroleum Marketing (BHPetrol), Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Maxis Broadband, TAB Security, Kamatech Automotive & Engineering, Hexide Engineering, AMS Caddy Academy dan Nur Lembah Pangsun Eco Resort.

“Kerjasama ini memanfaatkan veteran dan bakal pesara ATM dalam skop penempatan pekerjaan, keusahawanan dan latihan kemahiran. Ia sebahagian daripada usaha PERHEBAT untuk menjadi institusi yang anjal, terbuka dan berorientasikan prestasi,” ujarnya.

Tambahnya, PERHEBAT kini memberi tumpuan kepada tiga fokus utama dalam pemerkasaan institusi itu iaitu mengukuhkan peranan dalam melahirkan veteran sebagai penggerak ekonomi dan tenaga kerja berkualiti tinggi; memperhebat jaringan dengan industri serta pasaran pekerjaan; dan menjadikan PERHEBAT sebagai institusi berdaya saing yang menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

Turut hadir, Pengerusi PERHEBAT, Profesor Emerita Datuk Dr Roziah Omar; Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Jeneral (Bersara) Datuk Seri Azizan Ariffin TUDM; dan Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Amir Md Noor.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button