34 maut bot pelancong terbalik di Teluk Ha Long, Vietnam
HANOI – Sekurang-kurangnya 34 orang maut selepas sebuah bot pelancong yang membawa penumpang termasuk keluarga dan kanak-kanak terbalik akibat ribut secara tiba-tiba di Teluk Ha Long, Vietnam pada petang semalam.
Menurut laporan media tempatan VNExpress, bot berkenaan membawa 48 penumpang dan lima anak kapal ketika kejadian berlaku di kawasan yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO itu.
“Pasukan pengawal sempadan telah berjaya menyelamatkan 11 orang dan menemui 34 mayat setakat ini,” menurut laporan itu.
Kebanyakan penumpang bot merupakan keluarga dari ibu negara Hanoi, dengan lebih 20 kanak-kanak berada di atas bot ketika kejadian.
Usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan sehingga malam bagi mengesan lapan mangsa yang masih hilang.
Seorang pekerja pejabat di Teluk Ha Long, Tran Trong Hung memaklumkan kepada media tempatan bahawa langit mula gelap sekitar jam 2 petang (waktu tempatan), diikuti dengan hujan lebat, ribut petir dan ketulan hujan batu sebesar ibu jari kaki.
Seorang mangsa kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang
diselamatkan oleh bot tentera.
Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengarahkan Kementerian Pertahanan serta Kementerian Keselamatan Awam untuk segera melaksanakan operasi menyelamat dan menyiasat punca kejadian.
Kenyataan rasmi kerajaan turut menegaskan bahawa sebarang pelanggaran peraturan akan disiasat dan dikenakan tindakan tegas.
Pada hari sama, beberapa kawasan lain di utara Vietnam termasuk Hanoi, Thai Nguyen dan Bac Ninh turut mengalami hujan lebat dan angin kencang sehingga menyebabkan pokok tumbang.
Pusat Ramalan Hidrometeorologi Kebangsaan menjelaskan bahawa ribut di utara Vietnam tidak berkaitan dengan Taufan Wipha yang sedang melanda Laut China Selatan.
Fenomena itu dikatakan berlaku selepas tiga hari cuaca panas melampau dengan suhu mencecah 37 darjah Celsius.
Teluk Ha Long merupakan destinasi pelancongan utama Vietnam, terkenal dengan keindahan air biru kehijauan dan pulau batu kapur yang diselimuti hutan hujan tropika.
Tahun lalu, seramai 30 bot dilaporkan karam di kawasan sama akibat Taufan Yagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








