BERITA SEMASA

33 pengunjung Kolam Air Panas Jasin disyaki dijangkiti wabak kencing tikus

MELAKA – Sebanyak 33 orang termasuk pelajar dan guru sebuah sekolah di sini disyaki dijangkiti wabak Leptospirosis atau kencing tikus selepas mengunjungi Kolam Air Panas Jasin, minggu lepas.

Pengarah Kesihatan Melaka Dr. Ruzita Mustaffa berkata, pada 7 Jun lalu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah telah menerima notifikasi sekumpulan pelajar daripada sebuah sekolah dari daerah Melaka Tengah mengalami gejala demam, batuk, selesema, dan sakit badan selepas mengikuti program terapi air di Kolam Air Panas Jasin pada 5 Jun lepas.

Jelas beliau, siasatan lanjut telah dijalankan oleh PKD Melaka Tengah mendapati seramai 78 orang peserta yang terdiri dari pelajar, guru, ibu bapa, dan penjaga telah mengikuti program tersebut.

Daripada jumlah tersebut, seramai 27 orang yang terdiri daripada 15 orang pelajar, sembilan orang guru, dan tiga orang penjaga mengalami gejala, manakala seramak lima orang iaitu seorang penjaga, dan empat orang pelajar telah dimasukkan ke wad Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil.

“Kes bergejala yang lain telah diberi rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan (KK) Ayer Keroh dengan sampel klinikal pesakit telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kesihatan (MKAK) Sungai Buloh untuk ujian pengesahan Leptospirosis,” katanya.

Selain itu, sebanyak lima kes baharu disyaki Leptospirosis telah dikesan dalam kalangan orang awam yang berkunjung ke Kolam Ayer Panas Jain dari 7 hingga 11 Jun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang disyaki adalah 33 orang dengan kesemua kes masi menunggu keputusan ujian pengesahan.

Menurut Dr. Ruzita lagi, penilaian risiko yang dijalankan ke atas Kolam Air Panas Jasin mendapati persekitaran yang kondusif untuk penularan Leptospirosis.

“Sampel persekitaran turut di hantar ke MKAK Sungai Buloh untuk ujian pengesahan. Sebagai langkah kawalan, pusat rekreasi tersebut telah ditutup selama 14 hari bermula 8 Jun dan pengusaha diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.

“Pengusaha pusat rekreasi juga diminta untuk menukar air kolam secara kerap dan berjadual menjaga kebersihan dan memastikan tiada infestasi tikus atau haiwan pembawa penyakit lain,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Melaka akan terus memantau perkembangan terkini kejadian kluster disyaki Leptospirosis ini, selain meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan dengan kerjasama semua agensi yang berkaitan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan semasa mengunjungi pusat rekreasi dan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran jika mengalami sebarang gejala,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button