BERITA SEMASA

303 pelajar rentas sempadan haram diberi pilihan alternatif

KOTA BHARU – Seramai 303 murid dan pelajar dari Thailand yang menggunakan laluan haram di Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang bakal menghadapi larangan rentas sempadan bermula 1 Disember ini.

Susulan itu mereka diberikan empat pilihan alternatif bagi meneruskan persekolahan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pendekatan yang disarankan termasuk tinggal di asrama sekolah.

Katanya, bagi sekolah tanpa kemudahan asrama atau yang sudah penuh, pelajar akan ditempatkan di asrama sekolah lain berdekatan.

“Pelajar juga boleh menyewa rumah di kawasan berhampiran sekolah. Pendekatan ketiga pula adalah menggunakan laluan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS),” katanya memetik laporan BH online.

Beliau berkata, maklumat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) menunjukkan 303 pelajar berkenaan terdiri daripada 221 pelajar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan 82 lagi daripada Yayasan Islam Kelantan (YIK).

“Keputusan itu diambil melalui mesyuarat MKN yang berlangsung semalam dan pelaksanaan urusan untuk pelajar terbabit akan dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN),” katanya lagi.

Semalam, MKN mengumumkan larangan rentas sempadan menggunakan laluan haram sepanjang Sungai Golok berkuat kuasa 1 Disember ini, dengan tindakan tegas akan diambil terhadap semua yang terlibat termasuk pelajar.

Mohd Yusoff turut berkata, keadaan pelajar yang menggunakan bot tanpa jaket keselamatan amat membimbangkan.

“Pengemudi bot sudah berusia dan bot hanya bergerak dengan menarik tali. Situasi ini berbahaya. Jika pelajar enggan menggunakan asrama atau pilihan lain, mereka mesti melalui ICQS,” tegasnya.

Sebagai langkah tambahan, Jabatan Imigresen Malaysia telah bersedia membuka pintu sempadan lebih awal, bermula pukul 6 pagi, manakala pihak Thailand juga bersetuju dengan langkah itu.

Pendekatan itu diharapkan dapat memastikan keselamatan pelajar terjamin tanpa menjejaskan perjalanan pendidikan mereka.

Sementata itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Keselamatan) MKN, Hamzah Ishak berkata, mekanisme khusus disediakan untuk pelajar yang terjejas, termasuk menggunakan tiga pintu masuk sah di Kelantan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button