
3,000 sertai program Israk Mikraj anjuran YADIM di 24 lokasi seluruh negara
PUTRAJAYA – Lebih 3,000 peserta menyertai Program Israk Mikraj 1446H Solat Anugerah Teragung Untuk Ummah “Keadilan Untuk Orang Bersolat” anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang diadakan serentak di 24 lokasi seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Ustaz Zamri Zainal Abidin, berkata, adalah penting bagi umat Islam di negara ini supaya memelihara solat kerana ia boleh memberi kesan terhadap pembangunan negara.
“YADIM mahu menanamkan rasa mahu melaksanakan ibadah tersebut dengan sebaiknya di dalam kalangan para peserta sejak mereka kecil lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program tersebut di Surau Ar Rayyan, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Larai, Presint 6, Putrajaya hari ini.
Hadir sama dalam program perasmian, Setiausaha Surau Ar Rayyan, Muhd Hafiz Abdul Azir, Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda YADIM, Shahrizal Mat, Pengarah Bahagian Pembangunan Du’at, Rohaizah Jawahir serta pengurusan surau berkenaan.
Program yang diadakan bagi menyambut peristiwa bersejarah umat Islam itu selaras dengan tema ‘Islam Mekar Di Bumi Malaysia’ oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menekankan kerjasama dan tanggungjawab setiap agensi untuk meninggikan syiar Islam.
Pengisian bagi program di setiap lokasi termasuk sesi tahsin ibadah solat, ceramah dan sesi bedah buku “Keadilan Untuk Orang Bersolat” yang ditulis sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Para penceramah bagi program tersebut terdiri daripada Ahli Zamalah YADIM serta Daie Muda YADIM di seluruh negara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |