Berita Semasa

300 pengamal media diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama MINDEF

KUALA LUMPUR – Kira-kira 300 pengamal media diraikan dalam majlis berbuka puasa anjuran Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, di ibu negara hari ini.

Majlis yang turut dihadiri oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu bertujuan untuk meraikan serta menzahirkan penghargaan buat pengamal media tempatan yang telah memberikan sumbangan dalam menyalurkan liputan kementerian kepada masyarakat.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar.

Dalam majlis sama, Mohamed Khaled turut meluncurkan dua program di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) iaitu Inisiatif Program JanaVeteran melibatkan Boustead Plantations Berhad (BPlant) dan merasmikan pra-peluncuran aplikasi ‘PERWIRA Super App’ oleh PERNAMA Network Sdn. Bhd. dan Mastercard International.

Menurut MINDEF, ‘PERWIRA Super App’ merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) Network dengan kerjasama Mastercard International bagi kegunaan komuniti di bawah MINDEF yang menggabungkan kecerdasan buatan (AI).

Katanya, aplikasi berkenaan adalah untuk mempercepat transformasi masyarakat MINDEF k earah digital dengan ciri keselamatan canggih, cekap, selamat dan mesra pengguna.

“Aplikasi ini akan memberi manfaat kepada komuniti ketenteraan dalam bidang ekonomi dengan menjanjikan transformasi digital khusus kepada warga pertahanan dan veteran serta semua anak syarikat di bawah seliaan MINDEF,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Inisiatif JanaVeteran menyasarkan manfaat kepada Veteran ATM yang telah bersara dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menceburi bidang pertanian melalui beberapa buah program.

Menurut MINDEF lagi, program tersebut adalah seperti Program Tanaman Halia dan Cili Fertigasi serta Program Usahawan Tani Veteran.

Usaha ini adalah merupakan hasil kerjasama antara Bousted Plantations Berhad (BPlant) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

“Langkah itu juga bagi membantu kerajaan memperkukuhkan aspek keterjaminan makanan negara di samping membuka peluang kepada ahli veteran ATM menjana pendapatan dalam bidang keusahawanan tani,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button