BERITA SEMASA

29 NGO dilantik pelaksana program PEKB 2025

PUTRAJAYA – Sebanyak 29 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menerima surat kelulusan sebagai pelaksana program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB).

Penyerahan itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu dalam satu majlis, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha KPKT (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti), Suhaimi Ali@Ahmad.

PEKB merupakan satu inisiatif stategik antara pihak kementerian dengan NGO dalam membasmi kemiskinan bandar dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.

Menurut Aiman Athirah, pihaknya menerima sebanyak 93 permohonan daripada NGO pengendali dan daripada jumlah itu 62 dipanggil untuk menghadiri temuduga manakala 29 berjaya lulus.

AIMAN ATHIRAH – GAMBAR IHSAN KPKT

“Bagi tahun ini, sebanyak RM11 juta diperuntukkan dalam program ini, yang akan memanfaatkan 1,060 peserta dari golongan B40 di seluruh negara,” kata Aiman Athirah dalam ucapannya.

Beliau kemudiannya menjelaskan, jumlah peruntukan yang diberikan kepada NGO pengendali adalah berbeza dan mengikut kluster, iaitu RM300,000 sekiranya melibatkan peralatan, dan berkurangan sedikit sekiranya program diadakan hanya melibatkan latihan.

Di bawah program ini, peserta akan mengikuti latihan keusahawanan selama tujuh hari dibawah kendalian NGO pelaksana untuk meningkatkan kemahiran dan pengendalian mereka.

“Kira-kira 80 peratus daripada 16,955 peserta yang telah menyertai PEKB sehingga kini berjaya mencapai sasaran dengan memperoleh pendapatan lebih RM750 sebulan.

“Maklumat ini adalah berdasarkan data yang diperoleh menerusi penilaian dan pemantauan yang dijalankan dalam tempoh dua kali setahun selepas peserta menamatkan kursus masing-masing,”katanya lagi.

Beliau kemudiannya menambah, pihak kementerian akan terus komited untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama NGO dalam melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi.

Usaha bersepadu ini, kata beliau, bukan sahaja memberi peluang kepada golongan yang terpinggir malah mampu meningkatkan taraf kehidupan mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button