BERITA SEMASA

26 pegawai imigresen dipecat kerana rasuah, 50 lagi disiasat – Saifuddin

KUALA LUMPUR – Seramai 26 pegawai Jabatan Imigresen (JIM) dibuang kerja tahun lalu susulan penglibatan dalam kegiatan rasuah di kawalan pintu masuk negara, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut beliau, 50 lagi pegawai sedang disiasat berkaitan sindiket ‘phantom travel’ yang dipercayai terlibat dalam manipulasi kemasukan warga asing.

“Kita tidak bertolak ansur dengan perlakuan jijik seperti itu,” tegasnya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN–Besut) di Dewan Rakyat hari ini berhubung isu ‘counter setting’ dalam kalangan pegawai JIM.

Saifuddin menjelaskan, sebarang tindakan terhadap pegawai akan dibuat berdasarkan dapatan risikan dan siasatan dalaman.

Sekiranya terdapat bukti prima facie, tindakan tatatertib akan diambil mengikut Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Antara hukuman yang boleh dikenakan termasuk amaran, denda, pemotongan gaji, penurunan pangkat atau pemecatan.

Tambah beliau, kes yang melibatkan unsur rasuah atau jenayah akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara siasatan dijalankan, pegawai terbabit akan dipindahkan ke unit berisiko rendah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button