
222 pelajar IPT dijangkiti HIV pada usia muda – Timbalan Menteri Kesihatan
KUALA LUMPUR – Seramai 222 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dikesan dijangkiti HIV pada usia seawal 18 hingga 19 tahun sepanjang tahun lalu, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Menurut beliau, secara keseluruhan sebanyak 1,091 kes jangkitan HIV direkodkan dalam kalangan pelajar IPT sepanjang tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024.
“Data ini menunjukkan bahawa aktiviti berisiko telah bermula lebih awal. Oleh itu, langkah pengurangan kemudaratan (harm reduction) sedang diperkukuh, termasuk penggunaan kaedah Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) sebagai langkah pencegahan HIV.
“Pelaksanaan PrEP di beberapa fasiliti kesihatan juga telah menunjukkan kejayaan dalam membendung penularan jangkitan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Media Mengenai Pendekatan Pengurangan Kemudaratan 2025, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Lukanisman mengakui terdapat kekangan dalam memberikan akses kepada remaja bawah umur untuk menjalani ujian kendiri HIV dan rawatan susulan.
“Tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan remaja menjalani saringan atau rawatan tanpa kebenaran ibu bapa.
“Ini menyukarkan mereka untuk tampil secara sukarela dan merupakan antara cabaran utama yang sedang ditangani,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Sektor HIV/STI dan Hepatitis C, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Fazidah Yuswan berkata, seramai 29,941 atau 36 peratus daripada 83,937 individu yang dijangkiti HIV masih belum dikenal pasti sehingga tahun lalu.
“KKM kini memperhebat saringan di peringkat komuniti dan memperluaskan penggunaan kit ujian kendiri HIV khusus untuk golongan berisiko, terutamanya mereka yang malu atau enggan hadir ke fasiliti kesihatan.
“Kit ujian ini juga boleh diperoleh menerusi kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Majlis AIDS Malaysia,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |