21.9 juta rakyat Malaysia dengar radio setiap minggu – GfK
KUALA LUMPUR – Radio kekal sebagai medium berpengaruh di Malaysia apabila kajian nasional pertama oleh GfK mendapati seramai 21.9 juta rakyat Malaysia mendengar radio setiap minggu.
Kajian Pengukuran Pendengar Radio (RAM) yang dilaksanakan secara menyeluruh itu merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini merangkumi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak termasuk bandar utama seperti Kuching, Kota Kinabalu, Miri dan Sandakan.
Menurut GfK yang merupakan sebahagian daripada kumpulan NIQ, kajian komprehensif yang dijalankan selama enam minggu bermula 24 Ogos hingga 4 Oktober 2025 itu bukan sahaja menandakan pencapaian penting bagi industri pengukuran media negara tetapi turut memberikan gambaran jelas mengenai tabiat dan keutamaan pendengar radio.
Ia melibatkan 6,000 responden di Semenanjung serta 600 responden di Malaysia Timur menjadikannya dapatan yang kukuh dan representatif.
“Purata masa rakyat Malaysia mendengar radio adalah 12 jam 47 minit seminggu, menunjukkan radio masih relevan dan kekal menjadi platform pilihan ramai.
“Majoriti pendengar iaitu seramai 17.1 juta orang mendengar radio ketika berada dalam kereta, menjadikan kenderaan sebagai lokasi paling dominan.
“Di rumah pula, seramai 13.2 juta pendengar direkodkan setiap minggu, manakala radio di tempat kerja mencatat 2.4 juta pendengar,” kata kenyataan tersebut.
Dari sudut tempoh mendengar pula, pendengar di tempat kerja menghabiskan masa paling lama iaitu 11 jam 20 minit seminggu, diikuti pendengar di rumah dengan 10 jam 10 minit.
Kajian turut menunjukkan waktu paling popular ialah pada waktu petang antara 4 petang hingga 8 malam pada hari bekerja dengan 15.3 juta pendengar manakala waktu pagi dari 6 hingga 10 pagi mencatat 15.2 juta pendengar.
Dapatan daripada kajian nasional pertama itu sekali lagi mengesahkan bahawa radio terus menjadi sebahagian penting kehidupan harian rakyat Malaysia, walaupun berdepan persaingan hebat daripada platform digital.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



