
2,093 tapak sampah haram ditutup tahun lalu – Kor Ming
KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada tahun lalu membelanjakan RM1.6 juta untuk menutup sebanyak 2,093 tapak lokasi sampah haram di tujuh negeri melalui agensi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kementerian itu menerusi SWCorp telah melaksanakan pembasmian besar-besaran tapak sampah haram dengan anggaran pembersihan sebanyak 6,410 tan metrik sampah.
Katanya, pengurusan sisa di Kedah, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang dan Perlis itu mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal 2007 (Akta 672).
“KPKT memandang serius isu berkaitan pengurusan sisa pepejal di bawah fungsi SWCorp yang mana operasi berterusan tapak pelupusan sampah haram akan menjadi inisiatif utama tahun ini.
“Ini bertepatan dengan konsep Malaysia MADANI yang memfokuskan dua tonggak utama iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.
Kor Ming berkata demikian pada sidang media Operasi Pembersihan dan Penutupan Tapak Sampah Haram di Jalan Davis, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Ir Dr Mohd Azhar Abd Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman.
Beliau berkata, KPKT akan mempertimbangkan cadangan mengetatkan undang-undang supaya kadar denda bagi kesalahan berkaitan tapak sampah haram dinaikkan.
“Kita juga mengkaji sekiranya hukuman penjara boleh dikenakan kepada pelaku kesalahan berulang.
“Setakat hari ini, sebanyak 15 kes pendakwaan sampah haram telah pun disabit kesalahan oleh mahkamah dengan jumlah denda sebanyak RM168,000,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






