BERITA SEMASA

203 usahawan terpilih program latihan intensif pemasaran digital

SHAH ALAM – Sebanyak 203 usahawan wanita muda terpilih menyertai Program #UsahanitaDigital yang merupakan sebuah inisiatif berimpak tinggi anjuran Kerajaan Negeri Selangor melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS).

Majlis pelancaran program yang bertujuan memperkasa golongan wanita dalam bidang pemasaran digital dan e-dagang itu berlangsung meriah di Dewan Perdana, Mardhiyyah Hotel & Suites, di sini.

Majlis yang dirasmikan oleh EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari itu turut dihadiri barisan tenaga pengajar profesional serta rakan strategik industri digital.

Anfaal berkata, penyertaan wanita dalam program seumpama itu penting dalam melengkapkan diri mereka mengenai kemahiran digital selari dengan transformasi ekonomi semasa.

Para peserta yang hadir di Majlis pelancaran program yang bertujuan memperkasa golongan wanita dalam bidang pemasaran digital dan e-dagang,  berlangsung meriah di Dewan Perdana, Mardhiyyah Hotel & Suites, di sini.

“Program ini bukan sekadar latihan tapi satu medan pemerkasaan yang menyediakan bimbingan komprehensif kepada wanita muda untuk menjadi usahawan digital yang kompetitif dan berdaya saing.

“Ia juga membuka ruang kepada peluang pasaran, sokongan industri serta jaringan kolaboratif yang meluas,” katanya.

Program itu merupakan kesinambungan daripada siri terdahulu yang mendapat sambutan menggalakkan pada tahun 2024 dan kini diperhebat dengan pelbagai penambahbaikan.

Satu lagi detik penting dalam majlis itu ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara WBS dan empat rakan kolaborator strategik, iaitu Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Yayasan Hijrah Selangor, Yayasan Peneraju dan Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC).

Kerjasama itu dijangka dapat memperkukuh ekosistem keusahawanan digital wanita di negeri ini.

Antara tenaga pengajar profesional yang terlibat dalam program itu termasuklah Puan Rita Murni, Dr Nurhidayah Roslan, Tuan Michael Lim, dan Tuan Mohd Fahmi Dauk Taib.

Sesi diskusi panel pula diserikan dengan kehadiran tokoh industri digital seperti Dr Andrea Chow, Tuan Tan Wei Kiat dan Puan Nooraihan.

Selain latihan, para peserta juga akan menerima geran padanan perniagaan, peluang lawatan industri serta pengiktirafan khas.

Ikon Usahanita Digital pula akan menerima ganjaran wang tunai, peluang menyertai lawatan industri ke luar negara, trofi dan sijil penyertaan.

Program itu turut menerima sokongan penuh daripada semua rakan kolaborator sekali gus mencerminkan komitmen kolektif dalam memperkasa wanita muda sebagai pemacu ekonomi digital negeri Selangor.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman rasmi Wanita Berdaya Selangor atau menghubungi Cik Farah Nadirah Mohd Salahuddin di talian 019-2982771 atau emel ke farah.nadirah@wbselangor.com.my.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button