Berita Semasa

200 kanak-kanak ceria terima baju raya melalui program Sinar Syawal YKN

KUCHING – Seramai 200 kanak-kanak daripada kumpulan sasar Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKN) tampil ceria apabila menerima sumbangan pakaian raya baharu menerusi Program Sinar Syawal YKN 2025.

Program tajaan bersama Alliance Islamic Bank Berhad itu berlangsung di Mydin Vista Tunku, di sini disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi YKN, Datuk Seri Nancy Shukri

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada Alliance Islamic Bank atas keprihatinan dan kemurahan hati dalam membantu kanak-kanak yang kurang berkemampuan meraikan Aidilfitri dengan lebih bermakna.

“Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban keluarga yang memerlukan tetapi juga memberi sinar kegembiraan kepada anak-anak agar mereka turut merasai kemeriahan Syawal.

“Ia melambangkan semangat prihatin dan budaya menyantuni golongan yang memerlukan, selari dengan konsep Malaysia Madani yang menitikberatkan kesejahteraan bersama,” katanya.

Datuk Seri Nancy Shukri menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima program Sinar Syawal YKN.

Program hari ini menyaksikan 150 kanak-kanak menerima pakaian raya di Mydin, manakala 50 lagi menerima sumbangan yang sama dalam majlis yang berlangsung di Lundu semalam.

Selain itu, katanya, Alliance turut menyumbang duit raya kepada 200 kanak-kanak bagi program berasingan minggu depan.

Tambahnya, YKN terus komited dalam menjalinkan kerjasama strategik dengan sektor korporat bagi memastikan kumpulan sasar seperti wanita B40, ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya (OKU), serta warga emas menerima bantuan yang sewajarnya.

Sementara itu beliau turut mengajak lebih banyak syarikat korporat untuk tampil menyokong inisiatif kebajikan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama YKN.

Beliau turut menekankan bahawa setiap sumbangan tunai melalui YKN layak menerima resit pengecualian cukai pendapatan.

“Aidilfitri adalah bulan kemenangan, bulan kemaafan, dan bulan berkongsi rezeki. Semoga program ini menjadi satu permulaan kepada lebih banyak inisiatif kebajikan yang dapat kita laksanakan bersama pada masa hadapan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button