
200 doktor berhimpun bantah peraturan pamer harga ubat
PUTRAJAYA – Lebih 200 pengamal perubatan am (GP) kesihatan berhimpun di perkarangan Bangunan Perdana Putra di sini, bagi menyuarakan kebimbangan mereka terhadap keputusan kerajaan untuk menggunakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Akta 723) ke atas profesion perubatan bagi tujuan pelaksanaan paparan harga ubat.
Menurut Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira, penggunaan Akta 723 ke atas profesion perubatan mampu menjejaskan penyampaian penjagaan kesihatan primer dan membawa implikasi jangka panjang.
“Klinik swasta sudah pun dikawal ketat di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
“Akta 723 tidak pernah diwujudkan untuk penjagaan kesihatan. Menggunakan akta yang tidak berkaitan dengan bidang perubatan dalam sektor kesihatan adalah tidak wajar kerana kemudahan kesihatan bukanlah perniagaan runcit.
“Ia akan menyebabkan pertindihan, terutamanya dalam urusan penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Perhimpunan yang dianjurkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) itu turut disertakan dengan penyerahan memorandum bantahan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi mengetengahkan isu-isu yang dihadapi oleh klinik swasta.
Seramai sepuluh wakil doktor memasuki Bangunan Perdana Putra bagi menyerahkan memorandum bantahan itu pada pukul 10.40 pagi.
Jelas Dr Kalwinder, penggunaan Akta 723 akan menyebabkan amalan perubatan swasta tertakluk kepada dua undang-undang dan membawa kepada pengawalseliaan yang berlebihan terhadap profesion perubatan.
“Ia boleh menyebabkan kekeliruan dan mungkin juga gangguan kepada perkhidmatan kesihatan.
“Ini bukanlah satu situasi yang menggalakkan, khususnya untuk generasi doktor masa kini dan akan datang dalam penjagaan primer swasta.
“Klinik swasta adalah titik pertama penjagaan dalam sistem kesihatan kita. Kita sepatutnya memfokuskan kepada usaha memperkasakan perkhidmatan penjagaan primer untuk promosi kesihatan dan pencegahan penyakit, bukannya merumitkan sistem kesihatan dengan undang-undang bertindih dan kawal selia yang berlebihan,” katanya.
Dr Kalwinder menambah, terdapat kira-kira 12,000 doktor swasta yang berkhidmat di Malaysia, manakala lebih 60 peratus populasi bergantung kepada klinik swasta untuk keperluan kesihatan mereka.
“Kami ingin tegaskan bahawa para doktor bukan menentang ketelusan harga. Apa yang kami minta ialah penggunaan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) bagi menguatkuasakan paparan harga ubat.
“Ia adalah lebih wajar kerana Akta 586 diwujudkan khusus untuk mengawal selia profesion perubatan,” tegasnya.
Beliau berkata, Menteri Kesihatan mempunyai kuasa untuk memperkenalkan peraturan baharu di bawah Seksyen 107 Akta 586 sekiranya dirasakan perlu bagi melaksanakan sebarang dasar baharu yang bertujuan untuk meningkatkan hak pesakit.
“MMA sentiasa bersedia untuk berbincang mengenai laluan terbaik bagi melaksanakan paparan harga di bawah Akta 586. Ia adalah isu yang boleh diselesaikan tetapi yang penting adalah kerjasama yang bermakna antara kerajaan dan pihak berkepentingan,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |