
20 sukan teras prestasi tinggi jadi fokus lonjak pembangunan sukan negara

PUTRAJAYA — Sebanyak 20 sukan ditetapkan sebagai Sukan Teras Prestasi Tinggi dalam usaha memperkukuh pembangunan sukan negara, menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Penetapan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) Bilangan 1/2025 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam.
Hannah Yeoh menerusi kenyataan di Facebook berkata, langkah itu merupakan usaha menyelaras peranan semua pemegang taruh termasuk atlet, jurulatih, dan agensi demi kecemerlangan di pentas antarabangsa.
“Senarai sukan seperti renang, badminton, e-sukan dan olahraga dipilih berdasarkan prestasi global, pengurusan serta program pembangunan atlet.
“Penilaian akan dibuat setiap empat tahun selari dengan kitaran temasya Olimpik,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kolaborasi dalam JKPS itu sebagai petunjuk jelas bahawa keputusan tersebut bukan sekadar dasar, sebaliknya komitmen Kerajaan MADANI menjadikan sukan sebagai alat perpaduan dan lambang kebanggaan rakyat.
Tambahnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus menambah baik infrastruktur sukan, termasuk menaik taraf fasiliti seperti stadium e-sukan.
Program pembangunan komuniti seperti KLAS Renang dan KBS Masters turut akan diperluas penyertaannya kepada pelbagai kaum dan golongan orang kurang upaya (OKU).
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |