20 pasukan berentap dalam Piala Ketua Pengarah APMM Edisi Kedua
BANGI – Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia/APMM) Edisi Ke-2 menutup tirainya dengan penuh semangat kesukanan di Stadium Mini Bank Simpanan Nasional (BSN), di sini, malam Sabtu lalu.
Majlis penutupan disempurnakan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah yang turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Kebajikan dan Sukan Maritim (KESMAR) serta jawatankuasa penganjur atas penganjuran cemerlang kejohanan berprestij itu.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap penglibatan 20 pasukan dari seluruh negara, membabitkan seramai 460 pemain dan 50 urus setia sekaligus menjadikan lebih 500 warga Maritim Malaysia berganding tenaga menjayakan kejohanan berkenaan.
“Kehadiran dan penyertaan semua membuktikan warga Maritim Malaysia bukan sahaja cekap mengawal keselamatan perairan negara tetapi bersemangat juang tinggi serta bersatu hati di bawah panji Maritim Malaysia,” tegas beliau.

Kejohanan kali ini menyaksikan Zon Maritim Tanjung Sedili FC muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, diikuti Maritim Negeri Pahang FC sebagai naib juara (RM1,000), manakala Maritim Negeri Sarawak FC di tempat ketiga (RM700).
Beberapa pemain turut menerima pengiktirafan khas, antaranya Penjaga Gawang Terbaik, Laskar Kanan Maritim Mohd Yusry Yusof (Zon Maritim Tanjung Sedili FC); Penjaring Terbanyak, Laskar Kanan Maritim Mohd Morizad Morni (Maritim Negeri Sarawak FC) dan Pemain Terbaik Kejohanan, Laskar Kelas II Maritim Bercer Pinalus (Zon Maritim Tanjung Sedili FC).
Mohd Rosli berkata, kejohanan itu turut menjadi simbol sokongan Maritim Malaysia terhadap Hari Sukan Negara (HSN) 2025, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan kesetiaan warga APMM di seluruh negara.
“Pertandingan ini bukan sekadar sukan, tetapi lambang nilai teras Maritim Malaysia, disiplin, kerjasama berpasukan, keberanian serta ketahanan fizikal dan mental.
“Di laut kita berjuang mempertahankan kedaulatan, di padang kita berjuang menjulang maruah organisasi. Inilah jati diri APMM yang teguh berpasukan dan pantang menyerah,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan sukan sebagai wahana membentuk gaya hidup sihat dan memperkukuh perpaduan organisasi, menghubungkan pegawai serta anggota dari seluruh pelusuk negara.
“Dari Sabah hingga ke Perlis, dari Langkawi hingga ke Sandakan, kita bersatu di bawah satu semangat, satu warna dan satu bendera iaitu Maritim Malaysia,” katanya lagi.
Turut hadir memeriahkan majlis, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim selaku Pengerusi KESMAR Induk APMM; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah; serta para Pengarah Bahagian, Pengarah Maritim Negeri dan Zon, jurulatih serta pemain dari seluruh negara.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








