BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

20 inisiatif pertahanan ASEAN diluluskan di bawah Kepengerusian Malaysia

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatat sejarah apabila 20 inisiatif penting ditandatangani dan diterima pakai sepanjang memegang tampuk Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 dan ADMM-Plus ke-12, jumlah tertinggi dalam sejarah penganjuran mesyuarat berprestij itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pencapaian tersebut membuktikan keupayaan Malaysia memimpin kerjasama pertahanan serantau secara efektif, sekali gus mengukuhkan perpaduan ASEAN dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa.

“Mesyuarat tahun ini bukan sahaja produktif tetapi telah mengatasi jangkaan kita,” katanya pada Majlis Penyerahan Pengerusi ADMM dan ADMM-Plus 2025 kepada Filipina di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Tambah beliau, kejayaan itu turut disokong penyertaan 603 delegasi daripada 19 negara, mencerminkan kekuatan jaringan kerjasama dan pertukaran idea yang menjadi asas komuniti ASEAN.

Mohamed Khaled juga menegaskan kejayaan itu bukan milik Malaysia semata-mata, sebaliknya kejayaan bersama ASEAN dan merakamkan penghargaan kepada semua Negara Anggota, rakan ASEAN dan Sekretariat ASEAN atas sokongan padu mereka.

Beliau menekankan bahawa kepengerusian Malaysia bukan sekadar mengenai dasar dan keputusan, tetapi juga persahabatan, persefahaman bersama dan semangat kekeluargaan ASEAN.

“Satu tahun tidak cukup untuk melaksanakan semua perkara. Yang penting ialah kesinambungan meneruskan misi membina legasi mampan untuk Komuniti ASEAN,” ujarnya.

Beliau menyeru semua pihak mengekalkan semangat ‘ASEAN First’ dengan berfikir, bertindak, dan berperilaku sebagai satu ASEAN yang bersatu.

Majlis itu ditutup dengan penyerahan kepengerusian kepada Filipina, dengan Mohamed Khaled menzahirkan keyakinan negara itu akan memimpin dengan dedikasi, integriti dan semangat kesepakatan.

“Malaysia memberikan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada Filipina. Marilah kita menyokong kepengerusian Filipina sebagai satu ASEAN, bersatu dalam tujuan dan visi,” katanya.

Penutupan rasmi ADMM ke-19 dan ADMM-Plus ke-12 ini menandakan lembaran baharu kerjasama pertahanan serantau menjelang penganjuran seterusnya di Filipina tahun hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button