BERITA SEMASA

2 penarik kereta ditemukan meninggal dunia dalam kereta

AMPANG JAYA – Dua lelaki yang merupakan penarik kereta ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kenderaan dekat Jalan Persiaran 9, Taman Ampang pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian pada jam 6.17 petang.

“Orang ramai mendapati dua individu terbabit dipercayai tidak sedarkan diri berada dalam sebuah kereta sebelum menghubungi talian MERS 999.

“Kakitangan perubatan dari Hospital Ampang yang tiba di lokasi kejadian kemudiannya menjalankan pemeriksaan terhadap kedua-dua mangsa dan mendapati mereka telah meninggal dunia,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Katanya, polis yang menjalankan pemeriksaan mendapati kenderaan dinaiki dua individu berkenaan masih hidup serta keempat pintu dan tingkap dalam keadaan tertutup.

“Pintu bahagian penumpang dan pemandu kemudiannya dibuka dan didapati kedua-dua individu terbabit dalam keadaan mulut berbuih serta tidak sedarkan diri.

“Selain itu, pemeriksaan turut mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh badan kedua-dua individu itu,” katanya.

Menurutnya, semakan mendapati dua individu berkenaan merupakan warga tempatan.

“Kedua-dua individu terbabit berumur lingkungan 30an dan bekerja sebagai penarik kereta kemalangan.

“Mayat kedua-kedua individu itu dibawa ke Hospital Ampang untuk proses bedah siasat,” katanya.

Mohd Azam berkata, siasatan mendapati tiada sebarang elemen jenayah berhubung kejadian.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button