1,769 peserta meriahkan Jambori Pengakap Pribumi Malaysia
LIPIS – Seramai 1,769 peserta termasuk dari pedalaman Sabah, Sarawak dan komuniti Orang Asli Semenanjung memeriahkan Jambori Pengakap Pribumi Malaysia 2025 yang melabuhkan tirainya hari ini.
Program kali ke tiga yang berlangsung sejak 24 April lalu di SK LKTP Sungai Koyan dan Laman Sejahtera, Pahang itu menyaksikan peningkatan ketara dalam penyertaan berbanding edisi sebelumnya.

Majlis penutup disempurnakan Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam.
Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Dr. Mohammed Mukhyuddin Sarwani berkata, jambori itu meneruskan kejayaan penganjuran edisi pertama pada tahun 2019 dan kedua pada tahun 2022 dengan tema “Pengakap dalam Komuniti” yang menekankan hubungan timbal balik antara pergerakan Pengakap dan masyarakat.
“Antara aktiviti menarik yang diadakan termasuk aktiviti lasak, kemahiran Orang Asli, persembahan tarian tradisional serta program STEM inovatif bagi memperkasa potensi peserta dari aspek fizikal, intelektual, emosi dan sosial,” katanya pada majlis penutup di sini hari ini.
Beliau berkata, hubungan erat antara Pengakap dan masyarakat berperanan membentuk perwatakan serta kepimpinan dalam kalangan ahli, selain memberi manfaat besar kepada komuniti setempat.
“Hubungan ini mengukuhkan kedua-dua pihak untuk membina masa depan yang lebih mampan, khususnya untuk anak-anak Orang Asli dan komuniti Pribumi sebagai pewaris masa depan negara,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, jambori itu selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 4 yang menekankan pendidikan berkualiti.
“Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) mengiktiraf hak anak-anak Orang Asli untuk menerima pendidikan adil, menyeluruh dan bermakna, bukan sahaja di dalam bilik darjah tetapi juga melalui pengalaman luar seperti jambori ini,” katanya lagi.
Mohammed turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Kerajaan Negeri Pahang, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Kementerian Pendidikan, para pemimpin Pengakap, ibu bapa dan penjaga atas sokongan dalam memastikan kejayaan penganjuran kali ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Ahmad Sabri Saad dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pahang, Amin Nollah Lateh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






