BERITA SEMASA

16,951 remaja hamil luar nikah antara 2020 hingga 2024

KUALA LUMPUR – Seramai 16,951 remaja berusia 19 tahun ke bawah yang tidak berkahwin disahkan hamil sepanjang tempoh 2020 hingga 2024.

Angka mengejutkan itu didedahkan Menteri Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Keluarga, Datuk Seri Nancy Shukri di Dewan Rakyat, hari ini.

Kata beliau, berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM), secara keseluruhan terdapat 41,842 kehamilan remaja direkodkan dalam tempoh sama, termasuk bagi mereka yang sudah berkahwin.

“Daripada jumlah berkenaan, separuh membabitkan remaja Melayu, diikuti etnik Iban dengan 11 peratus, orang Asli di Semenanjung (sembilan peratus), Cina (lima peratus), India (tiga peratus) dan selebihnya daripada kumpulan etnik lain.

“Justeru pelbagai usaha dilaksanakan oleh KPWKM bagi membendung isu ini termasuk pemerkasaan pendidikan kesihatan reproduktif, inisiatif kaunseling serta sokongan komuniti.

“Antara inisiatif berkenaan dengan membangunkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) yang bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran semua pihak berkaitan kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif dan melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab dan berdaya tahan.

“Di bawah pelan tindakan ini, pembangunan kemahiran berkaitan kesihatan reproduktif yang positif dan selamat ditekankan sama ada melalui pendidikan formal di sekolah dan tidak formal di luar sekolah,” katanya ketika sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Nancy berkata demikian ketika menjawab sooalan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang bertanyakan mengenai jumlah remaja hamil tanpa nikah mengikut kaum dari tahun 2020 hingga kini dan apakah langkah yang diambil bagi mengatasi isu berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button