BERITA SEMASA

155 anggota MALBATT 850-12 terima Pingat PBB di Lubnan

MARAKAH – Seramai 155 anggota pasukan Malaysian Battalion (MALBATT) 850-12 termasuk 20 pegawai, 134 anggota lain-lain pangkat serta seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik, dianugerahkan Pingat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Medal) dalam satu perbarisan penuh istiadat di Kem Marakah, semalam.

Perbarisan Medal Parade itu diketuai Timbalan Komander MALBATT 850-12, Leftenan Kolonel Firdaus Shah Budin selaku ketua perbarisan dan diiringi pancaragam dari Ghana Battalion (GHANBATT).

Menurut kenyataan MALBATT, Komander MALBATT 850-12, Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh merupakan penerima pertama UN Medal sebagai simbol pengiktirafan tertinggi terhadap kepimpinan dan peranan utama beliau dalam pelaksanaan misi pengaman di bawah United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).

“Penyampaian pingat diteruskan kepada pegawai kanan serta keseluruhan anggota lain-lain pangkat dan disempurnakan oleh Komander Sektor Barat UNIFIL, Brigadier General Nicola Mandolesi,” menurut kenyataan itu.

Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Duta Besar Malaysia ke Republik Lubnan, Azri Mat Yacob yang turut menyempurnakan pemakaian pingat kepada sebahagian penerima sebagai tanda sokongan kerajaan terhadap usaha pengaman yang dilaksanakan kontinjen negara.

Kenyataan itu memaklumkan, penganugerahan pingat PBB merupakan pengiktirafan rasmi terhadap sumbangan anggota MALBATT 850-12 dalam mengekalkan keamanan serantau serta pelaksanaan misi antarabangsa secara profesional dan berdedikasi.

“Sejak memulakan penugasan pada November 2024, pasukan MALBATT 850-12 telah berperanan penting dalam usaha pengaman ketika Lubnan berdepan cabaran keselamatan akibat konflik di selatan negara itu serta ketegangan serantau melibatkan Israel dan Iran,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kehadiran MALBATT 850-12 amat signifikan dalam menyokong mandat UNIFIL untuk membantu kerajaan Lubnan memperkukuh kawalan keselamatan dan pemantauan kawasan operasi.

“Selain menjalin kerjasama erat dengan Angkatan Tentera Lubnan (LAF), anggota MALBATT turut melaksanakan pelbagai inisiatif kemanusiaan seperti perkhidmatan perubatan, agihan makanan dan program menyantuni anak yatim,” katanya lagi.

Jelas kenyataan itu, pendekatan tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan dua hala dengan masyarakat setempat, malah menyumbang kepada kestabilan sosial di kawasan operasi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button