
15. 3 peratus pengendali makanan diperiksa tiada suntikan anti tifoid
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memberitahu, seramai 14,457 pengendali makanan atau 15.3 peratus daripada 94,275 pengendali makanan yang diperiksa di seluruh negara tidak mendapatkan suntikan anti tifoid.
Kayttanya dalam satu kenyataan hari ini, jumlah itu adalah berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan dalam tempoh enam bulan sejak Januari hingga Jun lalu.
“Daripada sejumlah 94,275 pengendali makanan yang diperiksa di seluruh negara, didapati 79,818 (84.7 peratus) pengendali makanan telah mendapatkan suntikan anti tifoid,” kata kenyataan tersebut.
Selain itu, sebanyak 910 daripda 63,784 premis makanan yang diperiksa di seluruh negara dalam tempoh sama juga diarahkan tutup kerana tidak bersih.
Menurut KKM lagi, sejumlah 16,415 notis kesalahan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dikeluarkan dalam tempoh berkenaan.
“Tindakan penguatkuasaan telah dikenakan terhadap pengendali dan pemilik premis makanan yang gagal memenuhi keperluan perundangan ini,” katanya.
Mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, arahan penutupan premis tidak melebihi tempoh 14 hari boleh diambil kepada pemilik premis makanan yang kotor atau tidak suci.
Individu yang ingkar arahan tersebut boleh didakwa dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Di samping itu, terdapat 33 kesalahan boleh kompaun bagi kebersihan premis makanan, perkakas, amalan pengendalian oleh pengendali makanan dan pengangkutan makanan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009.
“Mana-mana individu yang gagal membayar kompaun berkenaan boleh didakwa di mahkamah dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya lagi.
Di bawah Peraturan 30 PPKM 2009, kata KKM) pemilik premis makanan bertanggungjawab untuk memastikan setiap pengendali makanan mengikuti Latihan Pengendali Makanan (LPM) di Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf KKM.
“LPM ini dijalankan berdasarkan modul pengajaran standard yang telah ditetapkan oleh KKM merangkumi lima komponen utama termasuk kebersihan makanan dan pengendali, keselamatan dan kualiti makanan serta faktor-faktor kritikal keracunan makanan.
“Latihan ini memberikan pengetahuan dan latihan asas kepada pengendali makanan dalam bentuk yang paling mudah difahami untuk dipraktikkan semasa di lapangan,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |