BERITA SEMASAJABATAN WILAYAH PERSEKUTUAN

13 universiti awam sertai Program Ecorace: Hijau dan Sejahtera DBKL sempena Hari Alam Sekitar Negara 2025

KUALA LUMPUR – Sebanyak 13 universiti awam dari seluruh negara menyertai Program Ecorace: Hijau dan Sejahtera anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2025, yang diadakan di Taman Tasik Permaisuri, di sini baru-baru ini.

Program bertemakan “Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama” itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Ecorace
Ismadi menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil sebuah universiti yang menyertai program tersebut.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Ismadi Sakirin.

Ia turut dihadiri wakil agensi kerajaan, institusi pendidikan serta komuniti setempat.

“Program berbentuk aktiviti luar ini menggabungkan elemen pendidikan alam sekitar, cabaran fizikal dan kerjasama berpasukan bagi memupuk gaya hidup sihat serta lestari.

“Selain penyertaan universiti awam, program turut melibatkan agensi kerajaan, sektor swasta, SWCorp, Alam Flora Sdn. Bhd. dan komuniti tempatan,” kata DBKL dalam satu kenyataan.

Antara aktiviti yang diadakan termasuk pertandingan eco race, Pameran Alam Sekitar, dan Green Market (Eco Free Market) yang mempromosikan amalan guna semula serta pengurangan sisa sejajar dengan prinsip ekonomi kitaran.

Ecorace
Sebahagian peserta dan mahasiswa dari UPNM bergambar kenangan bersama Ismadi (belakang).

Menurut DBKL lagi, inisiatif itu turut menyokong aspirasi Pelan Hala Tuju Kuala Lumpur ke Arah Sifar Sisa 2040 yang bertujuan mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan melalui peningkatan amalan kitar semula dan pengasingan sisa di punca.

“Pelaksanaan program ini mencerminkan semangat pendekatan 4P iaitu Public, Private, People dan Partnership dalam memastikan keseimbangan antara kemajuan bandar dan kelestarian alam sekitar, seiring matlamat menjadikan Kuala Lumpur bandar hijau, bersih dan sejahtera,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button