Berita Semasa

127,000 anggota PDRM nikmati Insentif Rebat RAHMAH sempena Hari Polis Ke-218

PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini mengumumkan pemberian Insentif Rebat RAHMAH secara sekali bayar kepada lebih 127,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersempena Sempena Hari Polis Ke-218.

Menurut Kementerian Komunikasi, tawaran itu dilaksanakan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi, khusus kepada anggota PDRM, meliputi anggota beruniform dan awam yang berkhidmat dengan pasukan keselamatan itu.

Katanya, pemberian insentif berkenaan disokong oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Tune Talk, redONE dan XOX Com.

“Anggota PDRM yang melanggan pakej prabayar pula akan menerima tambah nilai prabayar minimum RM30 secara sekali bayar dan kaedah pemberian rebat adalah berbeza mengikut syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, anggota PDRM yang mendaftar pelan pascabayar akan menikmati rebat dalam bentuk tanggungan pembayaran bil selama satu bulan sama ada pada April, Mei atau Jun, bergantung kepada tarikh kitaran bil penerima rebat.

Kementerian Komunikasi menambah, insentif tersebut sejajar dengan hasrat kerajaan MADANI bagi mengiktiraf dan menghargai pengorbanan anggota PDRM atas komitmen dalam menjalankan tugas bagi menjaga kesejahteraan rakyat serta keselamatan negara.

Maklumat lanjut mengenai insentif itu akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi masing-masing.

Untuk menyemak senarai soalan lazim, anggota PDRM disarankan merujuk laman sesawang Kementerian Komunikasi di pautan https://www.komunikasi.gov.my/en/awam/faq.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button