BERITA SEMASALUAR NEGARA

12 maut, 30 cedera dalam serangan udara AS di Yaman

SANAA – Sebanyak 12 orang maut manakala 30 yang lain cedera dalam serangan udara oleh tentera Amerika Syarikat (AS) ke atas sebuah pasar di ibu negara ini semalam, menurut Kementerian Kesihatan kumpulan Houthi.

Media rasmi Houthi, al-Masirah TV melaporkan, serangan menyasarkan Pasar Farwah di kejiranan Shu’ub, yang merupakan antara kawasan perdagangan paling sibuk di bandar tersebut.

Difahamkan, beberapa orang mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan akibat impak letupan dan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian masih diteruskan.

Serangan di Shu’ub merupakan sebahagian daripada beberapa siri serangan yang dilakukan AS semalam tanpa pendedahan rasmi oleh Washington.

Insiden tragis itu hanya selang beberapa hari selepas serangan AS di pelabuhan penyimpanan bahan api Ras Isa di barat negara ini yang mengorbankan 80 nyawa dan 170 lagi cedera.

Serangan tersebut juga dilaporkan telah menyebabkan kerosakan besar pada kemudahan penyimpanan minyak dan mengakibatkan tumpahan bahan api ke Laut Merah.

Ketegangan antara kumpulan Houthi dan tentera AS semakin memuncak sejak 15 Mac lalu, apabila Washington melancarkan gelombang serangan udara bertujuan untuk mengekang tindakan Houthi menyerang kapal-kapal perang milik Israel dan AS di Laut Merah.

Kumpulan Houthi, yang menguasai sebahagian besar wilayah utara Yaman, menyatakan bahawa serangan ke atas kapal milik Israel dan sekutunya adalah untuk memberi tekanan agar serangan terhadap Gaza dihentikan dan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sekatan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button