
1,100 peserta terlibat sesi libat urus inisiatif pengubalan Akta Kebebasan Maklumat
PUTRAJAYA – Sesi libat urus inisiatif ke arah penggubalan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) bagi zon tengah yang meliputi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Program selama dua hari itu menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat madani (CSO), badan peguam, serta ahli akademik, bagi membincangkan secara terperinci penggubalan Akta FOI di Malaysia.
Azalina berkata, sesi tersebut bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan input daripada agensi kerajaan sebagai pemilik maklumat, serta meneliti parameter dasar yang relevan berdasarkan amalan terbaik global.
“Ini adalah susulan keputusan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 14 September 2023, yang telah bersetuju secara prinsip terhadap penggubalan Akta Kebebasan Maklumat di peringkat kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menambah, walaupun Akta Kebebasan Maklumat akan digubal, Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) tetap akan dikekalkan dan dipinda supaya kedua-dua perundangan ini dapat melengkapi antara satu sama lain.
Azalina turut menyatakan bahawa sesi libat urus ini merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh yang telah dilaksanakan di seluruh negara, melibatkan 1,100 peserta termasuk wakil NGO, CSO, badan peguam, dan ahli akademik.
“Sesi itu juga melibatkan panel penceramah dan pakar jemputan dari luar negara seperti Australia, Kanada, Afrika Selatan, Sri Lanka, dan Indonesia untuk berkongsi pengalaman mereka dalam melaksanakan undang-undang FOI,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, keputusan Kerajaan Perpaduan itu mencerminkan ketelusan kerajaan yang berpegang kepada prinsip bahawa setiap rakyat Malaysia perlu diberikan hak untuk mencari, menerima dan memberikan maklumat melalui apa jua medium atau platform.
“Sesi libat urus itu memberi peluang kepada semua pihak untuk memberikan pandangan mereka supaya penggubalan Akta Kebebasan Maklumat itu dapat disesuaikan dengan keperluan dan keadaan negara kita,” tambahnya.
Penganjuran sesi libat urus itu menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memastikan rakyat mendapat akses kepada maklumat yang lebih terbuka dan telus, seterusnya menggalakkan penglibatan aktif dalam pembentukan dasar negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






