
11 bas tidak selamat beroperasi, JPJ beri notis larangan serta-merta
SEREMBAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan notis larangan operasi serta-merta ke atas 11 buah bas perkhidmatan awam yang didapati tidak selamat untuk beroperasi dalam Pra-Operasi Khas Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2025.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan tegas diambil terhadap semua bas terbabit bagi mengelakkan risiko kemalangan akibat kegagalan mematuhi standard keselamatan jalan raya.
“Pemeriksaan ke atas 500 bas di terminal dan depoh seluruh negara sejak 17 Mac lalu mendapati sebahagian kenderaan tidak diselenggara dengan baik, sekali gus membahayakan keselamatan penumpang.
“JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengendali bas yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),” katanya pada sidang media sempena Majlis Santuni Ramadan di Masjid An-Munawarah di sini, malam tadi.
Turut hadir, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadli Ramli.
Loke berkata, bagi memastikan kelancaran operasi dan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan, seramai 2,500 anggota penguat kuasa JPJ akan bertugas mulai 24 Mac hingga 8 April.
“Penguatkuasaan akan diperketatkan termasuk pemeriksaan ke atas bas ekspres, lori dan kenderaan persendirian di jalan raya serta terminal utama,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan semua pengusaha bas agar memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik bagi mengelakkan tindakan tegas daripada pihak berkuasa.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |