1,091 pelajar IPT hidap HIV sejak 2020, menteri agama bimbang normalisasi maksiat
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd. Na’im Mokhtar menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang mencecah 1,091 kes antara tahun 2020 hingga 2024.
Menurut beliau, gejala sosial dan keruntuhan nilai moral dikenal pasti sebagai antara punca utama peningkatan kes dalam kalangan anak muda.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama, saya amat bimbang dengan perkembangan itu. Sudah tiba masanya kita hentikan normalisasi maksiat atas nama kebebasan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Na’im turut mengingatkan pelajar dan golongan muda supaya menjaga maruah serta nilai diri mereka.
“Agama bukan sekadar pelajaran, ia panduan kehidupan. Hiduplah dengan prinsip, bukan sekadar ikut arus,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha menangani isu itu memerlukan pendekatan holistik yang melibatkan pendidikan, kesedaran dan penguatkuasaan secara serentak.
“Agensi agama, NGO serta institusi pendidikan perlu berganding bahu dalam usaha menyelamatkan generasi pewaris negara. Kerajaan MADANI komited melahirkan masyarakat yang bukan sahaja cemerlang dari segi intelek, tetapi turut sihat dari segi akhlak dan spiritual,” katanya.
Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni mendedahkan sebanyak 222 kes baharu jangkitan HIV melibatkan pelajar IPT direkodkan pada tahun lalu, termasuk remaja seawal usia 18 dan 19 tahun.
Jumlah keseluruhan kes jangkitan HIV sepanjang tahun 2023 ialah 3,185 kes.
Lukanisman berkata, intervensi lebih agresif perlu digerakkan termasuk mempertimbangkan strategi pengurangan kemudaratan yang sesuai dengan keperluan belia masa kini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








