BERITA SEMASA

109 penumpang bas dikompaun gagal pakai tali pinggang keledar

JOHOR BAHRU — Seramai 109 penumpang bas ekspres dan bas persiaran dikenakan kompaun oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor kerana gagal memakai tali pinggang keledar dalam tempoh dua hari operasi penguatkuasaan dijalankan bermula 1 Julai lalu.

Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, tindakan itu diambil menerusi Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar bagi memastikan pematuhan peraturan dan mengurangkan kadar kemalangan serta kematian akibat nahas jalan raya.

“Sepanjang dua hari operasi, sebanyak 675 bas ekspres dan bas persiaran telah diperiksa. Hasilnya, JPJ Johor mengeluarkan 109 notis kompaun JPJ(P)22 bernilai RM300 setiap satu terhadap penumpang yang gagal memakai tali pinggang keledar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penguatkuasaan tertakluk di bawah Kaedah 4 dan 4A Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (Pindaan) 2008, mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Menurutnya, peraturan baharu itu mewajibkan semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran untuk memakai tali pinggang keledar berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, membabitkan bas yang dibina selepas Januari 2020.

Bagi bas yang dibina sebelum tarikh tersebut, tempoh tertentu akan diberikan untuk pemasangan tali pinggang keledar.

“Pemandu juga bertanggungjawab memastikan semua penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum bas mula bergerak. Kegagalan mematuhi peraturan ini boleh menyebabkan saman RM300 dikenakan,” tegas beliau.

Tambah Azmil, JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat pengendali, pemilik kenderaan, pemandu atau penumpang yang masih berdegil melanggar undang-undang.

“Penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan demi membentuk ekosistem jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna,” ujarnya.

Orang awam yang ingin membuat aduan boleh berbuat demikian secara masa nyata melalui aplikasi MyJPJ (e-Aduan@JPJ) atau emel ke aduantrafik@jpj.gov.my dengan menyertakan butiran lengkap aduan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button