BERITA SEMASADALAM NEGERI

10,000 data genom rakyat Malaysia akan dikumpul

MIRI – Projek MyGENOM yang diterajui bersama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melakar satu lagi sejarah apabila Majlis Pelancaran Pengumpulan Data Penyelidikan MyGENOM Zon Sarawak 2025 dirasmikan, di sini semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni sekali gus menandakan permulaan fasa lanjutan bagi Projek MyGENOM di negeri Sarawak.

Antara inisiatif utama yang diumumkan termasuklah pelaksanaan pengumpulan data genom bagi 10,000 rakyat Malaysia, dengan fokus khusus kepada penyertaan komuniti yang kurang diwakili termasuk golongan Bumiputera Sarawak.

Projek MyGENOM adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan di bawah agenda Malaysia Madani untuk memastikan akses kepada kesihatan yang lebih adil, menyeluruh dan berasaskan sains yang tepat.

Rekrutmen peserta telah dimulakan melalui kerjasama Unit Tabung Darah dan Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) di hospital-hospital terlibat sekitar Miri.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif perubatan jitu (precision medicine) yang bertujuan membina satu pangkalan data genom rujukan negara yang inklusif dan representatif.

“Ia sekali gus memperkukuh keberkesanan rawatan serta kesiapsiagaan sistem kesihatan negara dalam mendepani cabaran masa hadapan.

“Antara manfaat utama program ini termasuklah penilaian risiko penyakit dan tindak balas terhadap ubat yang lebih tepat, pengurangan kos rawatan jangka panjang serta pembangunan kapasiti tenaga kerja dalam bidang genomik dan bioteknologi kesihatan,” menurut kenyataan KKM dalam satu hantaran di Facebook.

Sarawak dipilih sebagai lokasi strategik fasa itu kerana kepelbagaian genetik dan budaya masyarakatnya yang dilihat penting dalam memastikan hasil penyelidikan mencerminkan kerencaman demografi rakyat Malaysia.

Projek MyGENOM adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan di bawah agenda Malaysia Madani untuk memastikan akses kepada kesihatan yang lebih adil, menyeluruh dan berasaskan sains yang tepat.

Turut hadir memeriahkan majlis Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal); Datuk Dr.Nor Fariza Ngah; Ketua Pegawai Eksekutif National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM), Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim; Pengurus Institut Kesihatan Negara (NIH), Dr. Murizal Zainol dan Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan, NIH, Ami Fazlin Syed Mohamed.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button