BERITA SEMASADALAM NEGERI

10,000 calon SPM tidak hadir, bukan tanggungjawab guru semata

PEPERIKSAAN bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru sahaja bermula pada 2 Januari lalu. Berdasarkan statistik, terdapat seramai 402,956 calon telah mendaftar untuk menduduki ujian penting dalam sistem pendidikan negara ini.

SPM bukan sahaja peluang untuk membuktikan usaha mereka sepanjang 11 tahun persekolahan, bahkan menjadi batu loncatan bagi setiap pelajar melangkah ke arah masa depan yang lebih cerah.

Bagaimanapun, dalam keterujaan sebahagian besar calon yang hadir ke dewan peperiksaan, terdapat satu isu besar yang mencuri tumpuan iaitu lebih 10,000 pelajar tidak hadir pada hari pertama SPM bermula.

Tangkap layar hantaran Abdul Muiez di Facebook yang mengulas mengenai isu tersebut.

Melalui satu hantaran di Facebook, Guru Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, Abdul Muiez Ruslee membangkitkan perkara tersebut yang perlu diberi perhatian sewajarnya.

Menurut beliau, murid SPM ini ada dua jenis. Pertama mereka yang memang dari awal tahun tidak dapat dijejaki. Sekejap ada, sekejap tak ada. Kadang-kadang hadir, kadang tidak.

“Apa yang dibuat oleh KPM? Antaranya ialah intervensi murid cicir. Apa itu murid cicir? KPM merujuk definisi keciciran sebagai keciciran daripada sistem pendidikan iaitu murid warganegara Malaysia yang berada dalam sistem pendidikan (bersekolah) tetapi keluar daripada sistem sebelum tamat tempoh pendidikan.

“Apa pula intervensi yang pihak sekolah laksanakan? Ziarah cakna. Kami hadir ke rumah. Mencari di mana murid-murid ini berada. Kalau kerja, kami cari sampai ke tempat kerja. Walaupun terpaksa ke pasar, kami redah. Walaupun terpaksa ke tapak pembinaan, kami sampai.

“Nasihat, pujuk, kaunseling, semua kami dah bagi. Minta mereka hadir ke sekolah. Tak cukup dengan itu, kami ada juga berhubung dengan ketua taman, ketua block.

Para guru berusaha untuk melakukan ziarah cakna dalam usaha memujuk pelajar agar hadir ke sekolah.

“Sampai ada ketua block yang beritahu, ‘cikgu, kalau budak ni buat hal, beritahu saya. Tahulah saya nak uruskan macam mana.’ Alhamdulillah, ada yang kembali hadir. Malah ada juga sebaliknya,” tulis beliau.

Ujar Abdul Muiez lagi, apabila sampai masa masuk musim peperiksaan termasuk peperiksaan pertengahan tahun, percubaan, ujian mendengar dan bertutur, mereka semua tidak datang walaupun guru-guru dah kejar.

“Murid-murid ini dikira ghaib. Hilang tanpa kesan. Kalau ujian mendengar dan bertutur tak datang, mereka sudah dikira gagal Bahasa Melayu. Gagal Bahasa Melayu, dikira gagal SPM. Tak dapat sijil.

“Jadi, mereka ini tidak akan lagi dicari semasa hari pertama iaitu subjek Bahasa Melayu. Sebab mereka memang dah gagal.

“Setelah pelbagai usaha kami lakukan, cukuplah. Walau bagaimanapun, kami tak pernah lelah untuk menjemput dan mengingatkan murid ini untuk hadir sampaikan ke saat akhir,” jelasnya.

Kemudian, beliau memberitahu kelompok kedua pula terdiri daripada murid yang selalu datang tetapi kadang-kadang mereka sengaja tidak datang.

“Peperiksaan pertengahan tahun datang, peperiksaan percubaan datang, ujian mendengar bertutur datang, tiba-tiba hari pertama SPM mereka hilang.

“Murid yang ini, kami akan jejak sampai ke lubang cacing. Kalau perlu datang kejut di rumah, kami akan sampai. Kalau perlu jemput di mana-mana tempat sekali pun, kami akan hadir. Semata-mata nak pastikan murid ini datang ambil SPM.

“Itu saja? Oh tidak. Semasa hari peperiksaan, boleh dikatakan duit murid-murid ini tak laku.

Pihak sekolah turut menyediakan makanan buat calon pelajar yang menduduki SPM sebagai tanda sokongan.

“Sebab apa? Saya ambil contoh di sekolah saya. Pagi-pagi, kami sediakan roti dan air kosong. Selepas habis kertas pertama, kami sediakan pula makanan berat. Kadang-kadang kurma dan kismis pun ada kami bagi. Ada sesetengah sekolah, mereka sediakan grab and go. Biskut, roti, air unlimited. Ambil saja.

“Saya yakin, ratusan atau mungkin ribuan sekolah lain pun buat perkara yang sama. Jadi, apa lagi yang kurang? Usahlah dipersalahkan lagi pihak sekolah. Cukuplah,” tegasnya.

Beliau juga menekankan bahawa perkara itu bukan lagi tugas pihak sekolah semata-mata tapi hakikatnya melibatkan banyak pihak.

“Takkan pihak sekolah nak pergi setiap rumah, ketuk pintu suruh bangun subuh. Takkan cikgu nak telefon seorang demi seorang suruh bangun mandi.

“Takkan cikgu nak kena tunggu depan rumah sampai dia naik motor. Takkan cikgu nak escort sampai depan pagar sekolah. Mana mak ayah?

“Anak-anak tak bangun subuh, mak ayah buat apa? Takkan tak pernah tahu SPM dah mula? Tak pernah tengok jadual esok anak periksa apa? Anak keluar malam sedangkan esok nak periksa, takkan mak ayah tengok saja?” katanya mempersoalkan perkara itu.

Kehadiran pelajar ke sekolah termasuk calon yang menduduki SPM bukan tanggungjawab guru semata-mata tapi perlu dipikul oleh semua pihak termasuk ibu bapa. – Kredit Foto Bernama

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, setiap pihak ada batasan dalam tugas mereka. Sebagai ibu ayah, mereka bertanggungjawab untuk memastikan anak bangun dan pergi ke sekolah.

“Sampai di pintu pagar, biarlah cikgu uruskan. Sebab di sekolah bukan lagi tugas mak ayah. Kalau nak harapkan cikgu saja, matilah.

“Bukan kami berkira dalam tugas. Tapi dalam bertugas, kami ada had. Dalam rumah, mak kejut anak. Sampai sekolah biar kami yang selesaikan. Begitulah,” kata beliau menutup penulisannya.

Kementerian Pendidikan Malaysia (SPM) sebelum ini mengesahkan hanya 97 peratus calon yang hadir menduduki SPM yang bermula pada 2 Januari sehingga 6 Februari 2025.

Apa yang pasti, kehadiran pelajar ke sekolah bukan sahaja tanggungjawab seorang guru tetapi memerlukan sokongan kukuh daripada keluarga dan komuniti itu sendiri.

Hanya dengan kerjasama semua pihak, isu ketidakhadiran pelajar ini dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Sebagaimana guru bersedia untuk membantu di sekolah, ibu bapa juga harus memainkan peranan mereka di rumah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button